ASUNCION: Presiden Paraguay, Santiago Pena, mengisytiharkan cuti umum pada Selasa bagi meraikan kemenangan bersejarah skuad kebangsaan negara itu ke atas Jerman yang membolehkan mereka mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Paraguay mencipta antara kejutan terbesar kejohanan apabila menewaskan juara dunia empat kali, Jerman, 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik di Foxborough, Massachusetts.
Dalam hantaran di platform X, Pena berkata kemenangan tersebut menjadi detik yang membanggakan seluruh rakyat Paraguay.
“Hari ini, seluruh negara meraikannya,” tulis beliau sambil memuat naik gambar menandatangani dekri pengisytiharan cuti umum.
Menurut Pena, kejayaan itu mencerminkan identiti sebenar rakyat Paraguay yang sentiasa berjuang dan tidak mudah menyerah kalah.
“Ia meraikan kemenangan sebuah pasukan yang mewakili identiti paling mendalam negara kita – semangat juang, keyakinan dan kekuatan rakyat yang tidak pernah berputus asa,” katanya.
Teks dekri yang turut dikongsi Presiden itu menyatakan bahawa kemenangan berkenaan melangkaui kejayaan sukan semata-mata dan wajar diraikan di seluruh negara.
“Kerajaan tidak boleh bersikap acuh tak acuh terhadap pencapaian hebat ini. Adalah perlu untuk memudahkan seluruh rakyat Paraguay berkumpul bagi meraikan hari bersejarah ini,” menurut dekri tersebut.
Kemenangan ke atas Jerman itu turut mengakhiri rekod cemerlang pasukan Eropah tersebut dalam penentuan penalti Piala Dunia, apabila Jerman tewas dalam situasi itu buat kali pertama dalam sejarah kejohanan.
Paraguay kini akan meneruskan cabaran dalam pusingan 16 terbaik dengan menentang sama ada Perancis atau Sweden bagi merebut tempat ke suku akhir.
Paraguay juga menjadi negara Amerika Selatan kedua dalam Piala Dunia kali ini yang mengisytiharkan cuti umum selepas kemenangan mengejut ke atas Jerman.
Minggu lalu, Presiden Ecuador, Daniel Noboa, turut mengumumkan cuti umum selepas Ecuador menewaskan Jerman 2-1 pada peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kalah mati.