Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: PH desak Sanusi mohon maaf susulan kenyataan berkaitan kaum

Sanusi dan Sheikh Umar Ali
Sheikh Umar berkata, kedudukan orang Melayu dan Islam telah dijamin menerusi Perlembagaan Persekutuan, justeru isu berkenaan tidak seharusnya digunakan untuk mencetuskan sentimen perkauman.

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menarik balik kenyataannya berkaitan isu kaum serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, setiap warganegara yang memiliki kad pengenalan biru tidak seharusnya dihina atau dipersoalkan kedudukannya hanya berdasarkan latar belakang kaum.

Menurutnya, kenyataan yang membezakan rakyat Malaysia berdasarkan asal-usul kaum merupakan satu penghinaan terhadap seluruh rakyat negara ini, termasuk masyarakat Melayu, Cina dan India.

“Bagi saya dan pastinya rakan-rakan Pakatan Harapan, ini adalah satu bentuk penghinaan terhadap rakyat Malaysia, bukan sahaja Melayu, Cina dan India, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, kami mendesak Sanusi supaya menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sheikh Umar berkata, kedudukan orang Melayu dan Islam telah dijamin menerusi Perlembagaan Persekutuan, justeru isu berkenaan tidak seharusnya digunakan untuk mencetuskan sentimen perkauman.

Beliau turut mengingatkan Sanusi dan Perikatan Nasional (PN) agar tidak membawa politik perkauman sempit sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Politik sempit perkauman ini harus disekat daripada di bawa masuk ke dalam Negeri Sembilan pada PRN kali ini dan kita harap ianya tidak akan berlaku selepas daripada ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat orang Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India dan China.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata demikian ketika Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) dan PN di Jempol pada 24 Julai lalu.

Must Watch Video

Advertisement