Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Persefahaman PN-BN tidak jejas hubungan di Putrajaya – Ahmad Zahid

Pantun Anwar. Kredit Facebook Anwar Ibrahim
Ahmad Zahid berkata BN kekal komited menyokong Kerajaan Perpaduan di Putrajaya sehingga tamat penggal berdasarkan perjanjian dan resolusi yang telah dipersetujui. - Gambar fail/FB Anwar Ibrahim

JELEBU: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 tidak menjejaskan hubungan dengan Kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu berkata, BN kekal komited menyokong Kerajaan Perpaduan di Putrajaya sehingga tamat penggal berdasarkan perjanjian dan resolusi yang telah dipersetujui.

“Tidak, kami telah berkomitmen berdasarkan perjanjian kami dan resolusi kami. Kami akan menyokong kerajaan sekarang di Putrajaya sehingga penghujung penggal ini.

“Saya tidak nampak sebarang permasalahan. Hari Rabu (lalu), kami telah mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri. Hubungan sangat-sangat baik dan kami merupakan kumpulan profesional yang dapat membezakan isu nasional dan isu negeri.

“Ini cuma melibatkan pilihan raya negeri. Keutamaan kami adalah menangani dan menyantuni isu-isu nasional dan kami menanganinya dengan baik. Tidak ada sebarang perbezaan pandangan, apatah lagi dalam pelaksanaan dasar serta isu-isu yang mahu diselesaikan di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui media pada program Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan, Kampung Tohor, di sini, hari ini.

Untuk rekod, persefahaman itu menyaksikan BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN meletakkan calon di 11 kerusi.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, kerjasama antara kedua-dua gabungan politik berkenaan bukan sahaja bertujuan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, malah memastikan undi Melayu tidak terus berpecah. 

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai manakala hari mengundi 1 Ogos.

Must Watch Video

Advertisement