BENUT: Johor akan mengalami kerugian sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak diberi peluang meneruskan perkhidmatan sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Perkara itu ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan kepimpinan Onn Hafiz ketika ini sebagai antara kekuatan utama Barisan Nasional (BN).
“Kalau peluang sekali lagi tidak dapat diberikan kepada Datuk Onn Hafiz, ini satu kerugian kepada kesinambungan perkhidmatan yang baik,” katanya kepada pemberita di majlis makan tengah hari bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd. Sumali Reduan, di sini hari ini.
Menurut Zahid, prestasi pentadbiran kerajaan negeri di bawah Onn Hafiz bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan dan pertumbuhan hasil negeri, tetapi turut menitikberatkan aspek pengagihan peruntukan secara menyeluruh.
Beliau berkata pendekatan itu memastikan tiada kawasan atau kumpulan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.
“Manifesto yang telah diberikan kepada saya memperlihatkan bahawa tidak akan ada sebuah daerah pun di Johor ini yang akan tertinggal. Ini memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional,” katanya.
Dalam masa sama, Zahid menegaskan jentera parti perlu mempertingkatkan usaha sepanjang tempoh kempen bagi memastikan sasaran menambah kerusi dapat dicapai.
“Kita letakkan calon di keseluruhan 56 kerusi DUN, tentu kita mempunyai sasaran tertentu… dan kita mahu memperoleh lebih banyak kerusi,” katanya.
Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor ke-16 ini, tanpa sebarang agihan kerusi kepada parti lain.
Keputusan itu dibuat sejak awal, sekali gus mencerminkan keyakinan BN terhadap kekuatan sendiri untuk mempertahankan dan menambah kerusi di negeri berkenaan.
Sementara itu, Onn Hafiz, yang juga Pengerusi BN Johor, sekali lagi mempertahankan kerusi DUN N26 Machap, yang berada di bawah Parlimen Simpang Renggam.
Kerusi Machap menjadi tumpuan utama dalam pilihan raya kali ini memandangkan ia melibatkan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri Johor, selain menjadi antara ujian langsung terhadap prestasi pentadbiran semasa.