Skip to main content

Politik

PRN: KDN ambil langkah elak kesesakan di Tambak Johor pada hari pengundian

81675703646_TambakJohor.jpg
Saifuddin berkata fokus utama ketika ini ialah untuk memastikan kelancaran pergerakan rakyat pada hari pengundian. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan tiada gangguan serius di pintu masuk negara, khususnya di Tambak Johor, pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian telah menubuhkan satu pasukan khas sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan gangguan berikutan proses peralihan sistem imigresen daripada Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) kepada Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe).

Beliau berkata fokus utama ketika ini ialah untuk memastikan kelancaran pergerakan rakyat pada hari pengundian.

“Saya ingin jelaskan bahawa sistem yang sedang digunakan sekarang masih lagi sistem lama kerana proses peralihan kepada sistem baharu masih berjalan. Status semasa menunjukkan kemungkinan gangguan masih boleh berlaku sepanjang proses tersebut. Oleh itu, fokus kita sekarang ialah memastikan pada hari pengundian, iaitu 11 Julai, gangguan itu dapat dielakkan.

“Namun, jika berlaku, kita telah menyediakan pelan tindakan termasuk Pelan A dan Pelan B. Itulah arahan yang telah saya berikan kepada KDN,” katanya kepada pemberita di luar pusat penamaan calon Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato’ Onn di sini hari ini.

Beliau hadir bersama Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengiringi calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik.

Mengulas kemungkinan penyediaan laluan khas untuk pengundi Malaysia dari Singapura, Saifuddin Nasution berkata kerajaan akan mempertimbangkan semua ikhtiar yang perlu bagi memudahkan urusan mereka.

“Kita akan mengusahakan segala ikhtiar sekiranya perlu, termasuk menyediakan laluan yang dapat memudahkan pengundi Malaysia berada di Singapura pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement