KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menzahirkan Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dengan gelaran Datuk Sedia Raja.
Terdahulu, Hassan dan isteri Asmah Yaakob diarak kira-kira 300 anggota rombongan Undang Luak Rembau ke istana dengan paluan kompang sebelum Orang Empat Istana tampil membawa tepak sireh menghadap Tuanku Muhriz bagi memohon perkenan baginda untuk memulakan istiadat.
Undang Luak Rembau kemudian menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia kepada baginda.
Tuanku Muhriz dalam ucapan bertitah pelantikan itu merupakan amanah besar daripada permuafakatan adat dan perlu dipikul dengan keikhlasan, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi memelihara keluhuran adat serta kesejahteraan rakyat di Luak Rembau.
Titah baginda, sebarang perselisihan atau permasalahan hendaklah ditangani dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan semangat muafakat.
Hassan dilahirkan pada 11 Jan 1959 di Rembau daripada suku Biduanda, Sedia Raja Kampung Tanjung dan mendirikan rumah tangga dengan Asmah serta dikurniakan lima cahaya mata.
Beliau yang memiliki diploma daripada Institut Pendidikan Guru Raja Melewar memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Rompin, Pahang pada 1984 dan berkhidmat di beberapa sekolah, sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SK Astana Raja pada 2017.