Skip to main content

Malaysia

Tahun Melawat Sabah 2027 perkukuh jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan dunia

-- SEMPORNA, 27 Jun (Bernama) · Kerajaan negeri merangka pelbagai program bersempena dengan Tahun Melawat Sabah 2027 yang akan menjadi pemangkin utama pengukuhan jenama negeri itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Hajiji berkata Regatta Lepa membuktikan bahawa acara berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan berimpak tinggi. - Gambar Bernama

SEMPORNA: Kerajaan negeri merangka pelbagai program bersempena dengan Tahun Melawat Sabah 2027 yang akan menjadi pemangkin utama pengukuhan jenama negeri itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata program berkenaan bukan sahaja bagi mengekalkan momentum positif daripada Tahun Melawat Malaysia 2026 tetapi untuk memastikan kesinambungan pertumbuhan industri pelancongan negeri yang mapan dan inklusif.

“Antara program diadakan seperti Regatta Lepa Semporna selain mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti serta pengukuhan kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya pada majlis perasmian Regatta Lepa 2026 di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hajiji berkata dengan pelbagai program dirancang, Sabah berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta membuat persediaan bagi Tahun Melawat Sabah 2027.

“Tahun lepas, Sabah mencatat prestasi memberangsangkan dengan menerima 3.79 juta pelawat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan budaya dan maritim yang unggul di rantau ini.

“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, usaha memelihara warisan budaya bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama agar identiti dan jati diri kita tidak hilang ditelan zaman.

“Dalam konteks ini, kerajaan negeri memberi perhatian kepada pembangunan sektor pelancongan sebagai satu daripada pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah, dengan kepelbagaian khazanah budaya dijadikan tarikan ke negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata Regatta Lepa membuktikan bahawa acara berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan berimpak tinggi.

“Setiap tahun, ribuan pelawat datang ke Semporna untuk menyaksikan sendiri keindahan perahu lepa, persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional serta pelbagai aktiviti yang disediakan.

“Kehadiran pelancong ini secara langsung memberi manfaat kepada pengusaha hotel, bot pelancongan, peniaga kecil, usahawan kraftangan, pengusaha makanan dan minuman serta masyarakat setempat,” katanya.

Perahu lepa merupakan simbol kehidupan masyarakat Bajau Semporna sejak berzaman bukan sahaja berfungsi sebagai pengangkutan di lautan, malah menjadi lambang kemahiran, kreativiti dan kehalusan seni masyarakat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement