KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menyediakan peruntukan tahunan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkukuh usaha menjaga kebajikan haiwan jalanan, menerusi pembinaan lebih banyak pusat perlindungan dan pemberian subsidi kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata ketika ini belum ada peruntukan tahunan khusus bagi tujuan itu termasuk di peringkat kerajaan negeri menyebabkan kebanyakan NGO dan pusat perlindungan bergantung kepada sumbangan orang ramai dan bantuan pihak tertentu bagi meneruskan operasi.
"Saya cuba usahakan supaya perkara ini boleh dimulakan oleh Kerajaan MADANI iaitu memberi peruntukan tahunan kepada setiap PBT melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk program pemeliharaan haiwan jalanan ini.
"Ia merangkumi pembinaan pusat perlindungan bukan sahaja untuk kucing, malah anjing dan haiwan lain," katanya selepas merasmikan program Furreal Adopt Don't Shop di Taman Kucing MADANI, Flat Sri Sabah, di sini hari ini.
Program itu dianjurkan pelajar Komunikasi Antarapersonal, Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Taman Kucing MADANI dan Persatuan Rakan Kucing Malaysia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengambil kucing jalanan sebagai haiwan angkat berbanding membelinya.
Azman berkata pengambilan haiwan angkat melalui kaedah itu berbanding membeli di pasaran komersial boleh mengelakkan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata Taman Kucing MADANI kini menempatkan hampir 100 ekor kucing yang sedia diambil sebagai haiwan angkat pada bila-bila masa, selain menawarkan khidmat nasihat percuma daripada sukarelawan mengenai aspek penjagaan, kesihatan, pemakanan dan ubat-ubatan kepada bakal pemilik.
"Kita perlukan dana daripada orang ramai untuk bantu mengambil kucing-kucing jalanan ini termasuk sebagai haiwan angkat," katanya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan sekurang-kurangnya sebuah pusat perlindungan haiwan jalanan di setiap Parlimen di Kuala Lumpur bagi menyelamat serta mengurus kebajikan haiwan jalanan kerana sektor itu mempunyai potensi besar jika diolah secara kreatif.
Sementara itu, Ketua Projek Furreal Adopt Don't Shop, Syakira Zayni Rozahairy berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung pemeliharaan haiwan secara bertanggungjawab serta menggalakkan orang ramai mengambil kucing jalanan yang telah diselamatkan.
"Kami berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa setiap tindakan kecil mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan haiwan yang memerlukan perlindungan," katanya bahawa setiap kucing diselamatkan berhak diberi peluang kedua untuk hidup dalam sebuah keluarga penyayang.
-- BERNAMA