Skip to main content

Malaysia

Cabaran utama negara pembangunan bakat teknologi, bukan lagi infrastruktur - MOSTI

NIBONG TEBAL, 27 Jun -- Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ruziah Shafie (dua, kiri) melawat reruai pameran pada Majis Peluncuran STEM Showcase bersempena Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Utara di SMJK Jit Sin II hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ruziah (dua, kiri) melawat reruai pameran pada Majis Peluncuran STEM Showcase bersempena MSN 2026 Zon Utara di SMJK Jit Sin II hari ini. - Gambar Bernama

NIBONG TEBAL: Cabaran utama Malaysia bagi mencapai sasaran menjadi negara pencipta teknologi bukan lagi tentang isu infrastruktur semata-mata, sebaliknya untuk memastikan kesiapsiagaan dan kelangsungan bakat tempatan yang berkualiti.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ruziah Shafie berkata usaha melahirkan bakat masa hadapan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing memerlukan pendedahan awal kepada sains, teknologi dan inovasi (STI) serta bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui program pembudayaan yang dilaksanakan secara berterusan.

Justeru, katanya, Program Minggu Sains Negara (MSN) merupakan antara tunjang utama MOSTI untuk menyemai minat generasi muda terhadap bidang berkenaan, di samping merapatkan jurang antara pembelajaran di bilik darjah dengan keperluan sebenar industri berteknologi tinggi.

“Kita semua sedia maklum bahawa landskap geopolitik dan cabaran rantaian bekalan global hari ini menuntut negara memiliki kedaulatan teknologi. Malaysia tidak boleh lagi sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya kita mesti bangkit sebagai pencipta teknologi.

“Cabaran terbesar yang kita hadapi sekarang ialah memastikan bakat tempatan memiliki kualiti, kesiapsiagaan dan mampu mendepani perubahan dunia yang bergerak pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran STEM Showcase bersempena MSN 2026 Zon Utara di SMJK Jit Sin II di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang Khoo Boo Wooi.

Mengulas lanjut, Ruziah berkata ketika melancarkan Program MSN 2026 April lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang menetapkan sasaran penglibatan 1.15 juta peserta di seluruh negara dalam program tersebut yang akan memberi pendedahan STI dan STEM secara inklusif.  

Katanya, pemilihan Seberang Perai Selatan (SPS) sebagai lokasi penganjuran pertama Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Utara dilihat amat strategik memandangkan Pulau Pinang merupakan hab teknologi tinggi utama negara khususnya dalam sektor semikonduktor dan pembungkusan termaju.

Selain itu, ia turut disokong ekosistem teknologi di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, manakala Perak pula mempunyai potensi besar dalam pembangunan industri unsur nadir bumi.

Sementara itu Ruziah berkata kajian STI Foresight 2025–2040: Future of STEM Talent in Malaysia yang dilaksanakan MOSTI telah mengenal pasti 10 bidang keutamaan masa depan termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi data, keselamatan siber, sains bahan, pembuatan termaju, tenaga, kelestarian alam sekitar, bioperubatan, sistem pintar dan transformasi digital.

Kajian itu turut mengenal pasti kemahiran penting yang perlu dipupuk dalam kalangan bakat masa depan seperti kebolehsuaian, pemikiran kritis, literasi digital, penyelesaian masalah, kreativiti, komunikasi, kerja berpasukan, etika serta keupayaan berfikir secara futuristik.

Justeru, beliau berkata program pembudayaan sains yang dilaksanakan MOSTI memberi penekanan utama kepada pembelajaran secara amali bagi membudayakan inovasi bermula dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah, selain menerapkan pemikiran saintifik dalam kehidupan seharian masyarakat.

Ruziah berkata pendedahan kepada teknologi seperti AI juga penting kerana ekonomi masa depan akan dipacu oleh individu yang mampu memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan menghasilkan nilai tambah, sekali gus melahirkan generasi yang celik teknologi, kreatif, beretika dan bertanggungjawab.

Terdahulu MSN 2026 Zon Utara anjuran Rakan MySains MOSTI, Tech Dome Penang, menghimpunkan pelbagai pameran, bengkel dan aktiviti interaktif bagi menyemarakkan pembudayaan STI selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

Program dua hari yang berakhir hari ini itu dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung, selain turut menampilkan elemen baharu iaitu advokasi nuklear yang memaparkan teknologi serta manfaatnya kepada rakyat.

—BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement