Skip to main content

Malaysia

Sarawak perkukuh agenda ekonomi hijau, AI ke arah PCDS 2030

Kapit Nadi Tenaga Hijau Sarawak, Tonggak ‘Battery of the Region’  KAPIT: Bahagian Kapit bukan sekadar lokasi empangan hidroelektrik terbesar di Sarawak, malah berperanan sebagai nadi utama yang menggerakkan aspirasi negeri untuk muncul sebagai 'battery of the region' menerusi penghasilan tenaga hijau berskala besar. Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, rakyat Kapit mempunyai sebab yang kukuh untuk berbangga kerana sebahagian besar tenaga yang memacu industri, ekonomi dan pembangunan
Abang Johari semasa merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Kapit 2026 hari ini. - Gambar Facebook UKAS

KAPIT: Sarawak memperkukuh agenda pembangunannya dengan menjadikan ekonomi hijau, tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama ke arah merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan negeri kini beralih daripada ekonomi berasaskan sumber tradisional kepada ekonomi rendah karbon yang memanfaatkan teknologi serta memenuhi tuntutan pembangunan mampan global.

Beliau berkata hutan yang sebelum ini menjadi sumber hasil balak kini diiktiraf sebagai aset penyerap karbon, sekali gus membuka peluang baharu menerusi perdagangan karbon selaras dengan mekanisme di bawah Perjanjian Paris 2015.

"Ini merupakan perubahan besar dalam ekonomi dunia apabila hutan dan pokok mempunyai nilai ekonomi menerusi perdagangan karbon berasaskan piawaian antarabangsa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Kapit 2026 di sini hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak turut memanfaatkan AI, termasuk model bahasa raya (LLM), bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau berkata negeri itu juga berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab tenaga hijau serantau berasaskan sumber hidroelektrik dan gas asli, manakala perbincangan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petronas dijangka memperkukuh pembangunan industri tenaga negeri.

Dalam usaha membangunkan modal insan, katanya, kerajaan negeri melaksanakan 64 program pendidikan dan latihan meliputi bidang sains, teknologi, pengurusan, kewangan dan psikologi bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Mengenai pembangunan Kapit, Abang Johari berkata rangkaian jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman telah merancakkan aktiviti ekonomi, namun pada masa sama menyebabkan kesesakan lalu lintas di bandar itu.

"Sebelum ini kesesakan hanya berlaku di jeti kerana pengangkutan bergantung kepada sungai. Kini apabila jalan raya siap dibina, kesesakan berlaku di darat kerana lebih ramai orang datang untuk berniaga, bekerja dan menjalankan pelbagai urusan," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang menaik taraf hampir 5,700 kilometer jalan balak di seluruh Sarawak, termasuk di Kapit, secara berperingkat dalam tempoh lima hingga enam tahun supaya boleh digunakan orang ramai tanpa bayaran.

Beliau berkata Kapit turut memainkan peranan penting dalam agenda ekonomi hijau Sarawak sebagai antara kawasan utama penjanaan hidroelektrik negeri.

"Kita mahu Kapit menjadi bandar hijau yang lestari dan mempunyai identiti tersendiri, seiring perubahan ekonomi dunia yang kini beralih kepada tenaga hijau dan rendah karbon," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh sektor tenaga menerusi pembangunan hidroelektrik, tenaga solar, teknologi penyimpanan tenaga dan biojisim, di samping meneruskan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma serta pembangunan modal insan dalam bidang AI, tenaga hijau dan ekonomi digital.

Abang Johari berkata maklum balas yang diterima menerusi Program SKS akan dijadikan asas penggubalan dasar kerajaan negeri menerusi pendekatan bottom-up bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement