Skip to main content

Politik

PRN Johor: Puad Zarkashi dakwa UMNO tampil ramai calon kitar semula

KUALA LUMPUR, 27 April — ADUN Rengit yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ketika bercakap pada taklimat media Menteri Pendidikan Tinggi bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) antara Malaysia dan Turkiye serta Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn di sini hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Mohd Puad, senarai calon yang diumumkan selepas proses penamaan calon hari ini didakwa tidak mencerminkan pembaharuan dalam parti, sebaliknya masih didominasi calon daripada generasi lama. - Gambar fail/Bernama

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa UMNO membariskan ramai calon 'kitar semula' dan tidak memenuhi aspirasi golongan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, senarai calon yang diumumkan selepas proses penamaan calon hari ini didakwa tidak mencerminkan pembaharuan dalam parti, sebaliknya masih didominasi calon daripada generasi lama.

Beliau mendakwa, UMNO sebagai parti yang berusia 80 tahun sepatutnya memberi lebih banyak ruang kepada pemimpin generasi keempat, namun ramai calon yang dipilih terdiri daripada pemimpin generasi ketiga.

"Calon UMNO adalah calon caca marba, tidak menarik dan tidak menggambarkan perubahan. Kenapa? Sebab ia parti anak-beranak (Calon dipilih dalam kalangan kroni dan 'partner' main golf). Ada yang baru sebulan kembali masuk UMNO sudah boleh jadi calon dengan mudah.

"Tempoh satu generasi ialah 20 tahun. UMNO telah berusia 80 tahun. Sepatutnya UMNO dipimpin oleh generasi keempat UMNO seperti Onn Hafiz. Malangnya ramai calon UMNO adalah calon 'recycle' dari generasi ketiga.

"Maka UMNO Johor gagal memenuuhi aspirasi anak muda. Generasi ke empat terpinggir. Itu yang Akmal tidak faham," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Mohd Puad turut mempersoalkan pemilihan beberapa calon berpengalaman yang pernah tewas dalam pilihan raya atau pernah digugurkan.

"Kenapa letak calon calon 'recycle' seperti Datuk Halim di Tiram (kalah 2018/64 tahun), Dr Adham Baba (digugurkan PRU 15/64 tahun), Samsolbari Jamali (enam penggal/65 tahun).

"Seterusnya, Alwiyah Talib (65 tahun/dua penggal ADUN Bersatu/baru sebulan masuk UMNO terus jadi calon), Azhar Ibrahim (Kalah 2018./Haslinda exco Wanita baru sepenggal digugurkan). Zaidi Jaafat (kalah 2018) dan Youzaimi Yusof (kalah 2022).

"Sebelum ini, antaranya Datuk Abdul Halim Suleiman di Tiram, Datuk Dr Adham Baba, Datuk Samsolbari Jamali, Datuk Alwiyah Talib, Azhar Ibrahim, Zaidi Jaafar dan Youzaimi Yusof," katanya.

Selain itu, beliau turut mendakwa terdapat calon berkelulusan tinggi seperti Datuk Fuad Tukirin yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tidak dicalonkan, sebaliknya digantikan dengan calon lain di kerusi Bukit Naning.

"Lagi pelik calon yang ada PhD seperti Dato Fuad Tukirin katanya diganti dengan calon SPM di Bukit Naniing. Maka bagaimana anak muda mahu tertarik dengan UMNO," jelasnya.

Menurutnya lagi, penyertaan hanya seorang wakil Puteri UMNO sebagai calon juga menunjukkan peluang kepada pemimpin muda masih terhad.

"Memang wajar Puteri UMNO marah kerana seorang sahaja wakil Puteri jadi calon. Risikonya pengundi muda kali ini masih menolak UMNO," tambah beliau. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement