Skip to main content

Sukan

Dustin Poirier akui perlukan bantuan selepas video penahanan tersebar

Former UFC champion Dustin Poirier gestures next to members of the U.S. military attending UFC Freedom 250 on the South Lawn of the White House in Washington, D.C., U.S., June 14, 2026. REUTERS/Evan Vucci
GAMBAR FAIL: Bekas juara interim lightweight UFC, Dustin Poirier (kanan) ketika menghadiri acara UFC Freedom 250 di White House, Washington, D.C., Amerika Syarikat, pada 12 Jun, 2026. - Foto REUTERS/Evan Vucci

BEKAS juara interim lightweight UFC, Dustin Poirier, mengakui beliau memerlukan bantuan selepas rakaman penahanannya atas dakwaan mabuk di tempat awam tersebar baru-baru ini.

Menurut laporan MMA Fighting, Poirier ditahan pada Ahad di Lapangan Terbang Atlanta, Georgia selepas didakwa dikeluarkan daripada sebuah penerbangan susulan insiden mabuk di tempat awam.

Rekod mahkamah yang disahkan MMA Fighting menunjukkan Poirier ditahan pada petang Ahad sebelum dibebaskan selepas jam 10 malam waktu tempatan.

Bekas petarung berusia 37 tahun itu kemudian hadir di mahkamah buat kali pertama pada pagi Isnin.

Perkembangan tersebut pada awalnya hanya dilaporkan sebagai kes penahanan biasa, namun perhatian semakin meningkat selepas rakaman kamera badan polis berhubung insiden itu didedahkan.

MMA Fighting melaporkan rakaman yang diperoleh TMZ Sports menunjukkan Poirier berada dalam keadaan gelisah dan agresif selepas dikeluarkan daripada pesawat.

Dalam rakaman itu, Poirier dilihat berdepan kakitangan pintu masuk penerbangan sebelum seorang pegawai polis tiba di lokasi.

Keadaan menjadi tegang apabila Poirier dilaporkan mencabar pegawai tersebut dan menunjukkan tingkah laku mengancam, sebelum beberapa pegawai tambahan dipanggil bagi membantu mengawal situasi.

Pegawai polis terbabit dilihat cuba menenangkan keadaan beberapa kali sebelum Poirier akhirnya memberikan kerjasama dan ditahan.

MMA Fighting turut melaporkan bahawa selepas keadaan reda, Poirier cuba memperbaiki keadaan dengan pegawai berkenaan ketika beliau sudah digari.

Selepas laporan awal mengenai penahanannya, Poirier hanya memuat naik kenyataan ringkas di Instagram Stories dengan menyatakan beliau sedang berusaha memperbaiki dirinya.

Namun, selepas rakaman penahanan itu tersebar, Poirier tampil memberikan kenyataan lebih panjang mengenai keadaan dirinya.

“Saya berada pada tahap di mana saya perlukan bantuan. Meninggalkan dunia pertarungan bukan sesuatu yang mudah bagi saya dan alkohol bukan jawapannya,” tulis Poirier di Instagram.

Beliau turut menyatakan bahawa alkohol telah memberi kesan buruk kepada kehidupan bapanya dan beliau tidak mahu perkara sama berlaku terhadap dirinya.

Menurut Poirier, keluarganya berhak mendapat dirinya dalam keadaan terbaik dan beliau kini sedang berusaha mengambil langkah yang betul untuk memperbaiki keadaan mental serta kehidupannya.

Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa insiden di Atlanta bukan sekadar isu undang-undang, tetapi turut berkait dengan cabaran peribadi selepas meninggalkan dunia pertarungan profesional.

Poirier bersara daripada MMA pada Julai 2025 selepas tewas kepada Max Holloway dalam pertarungan merebut gelaran BMF di UFC 318, New Orleans.

Kekalahan itu menjadi pertarungan terakhirnya selepas karier panjang yang menyaksikan beliau mencatat rekod 30 kemenangan, 10 kekalahan dan satu no contest dalam 41 pertarungan profesional.

Sepanjang kariernya, Poirier pernah menjadi juara interim lightweight UFC dan mencabar gelaran mutlak sebanyak tiga kali.

Beliau turut mencatat kemenangan ke atas beberapa nama besar termasuk Max Holloway, Conor McGregor, Justin Gaethje, Eddie Alvarez dan Anthony Pettis.

Walaupun sudah bersara, Poirier masih kekal terlibat dalam dunia MMA melalui latihan bersama petarung di American Top Team, kemunculan dalam siaran UFC dan program berkaitan perkembangan semasa UFC.

Namun, beliau sebelum ini pernah bercakap secara terbuka mengenai kesukaran menyesuaikan diri selepas tidak lagi bertarung secara aktif.

Setakat ini, Poirier belum memperincikan bentuk bantuan yang akan diperolehnya selepas insiden tersebut.

Bagaimanapun, kenyataannya menunjukkan beliau sedar keadaan itu perlu ditangani secara serius, terutama selepas rakaman penahanan tersebut mencetuskan perhatian meluas dalam kalangan peminat MMA.

Kes itu juga menambah perbincangan mengenai cabaran yang dihadapi atlet selepas bersara, khususnya apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa rutin latihan, persaingan dan tekanan besar yang selama ini menjadi sebahagian daripada identiti mereka.


-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video

Advertisement