Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Perdagangan Iran-UAE di Pelabuhan Jebel Ali kembali beroperasi

PELABUHAN JEBEL ALI. IRNA
Pelabuhan Jebel Ali merupakan antara hab transit terpenting di selatan Teluk Parsi bagi urusan perdagangan dengan Iran. - Gambar IRNA.

KUALA LUMPUR: Aktiviti perdagangan antara Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi Pelabuhan Jebel Ali kembali beroperasi selepas tergendala susulan konflik yang melanda rantau Asia Barat.

Timbalan Ketua Pertubuhan Promosi Perdagangan Iran bagi Perkhidmatan Komersial, Mohammad Sadegh Ghannadzadeh berkata, Pelabuhan Jebel Ali merupakan antara hab transit terpenting di selatan Teluk Parsi bagi urusan perdagangan dengan Iran.

Menurutnya, sebahagian besar aktiviti perdagangan Iran sebelum ini dijalankan melalui laluan berkenaan.

Bagaimanapun, operasi perkapalan dan transit barangan melalui pelabuhan itu terhenti ketika konflik melibatkan Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, sekali gus menjejaskan urusan import dan eksport.

Beliau berkata, keadaan itu turut menyebabkan lambakan kontena milik pedagang Iran di Pelabuhan Jebel Ali selepas mereka gagal mengeluarkan barangan masing-masing sejak beberapa bulan lalu.

Ghannadzadeh memaklumkan perkara itu dalam wawancara khas bersama agensi berita rasmi Iran, IRNA pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran turut mengumumkan penerbangan berjadual antara negara itu dan UAE akan disambung semula minggu ini.

Perkara tersebut dipersetujui menerusi rundingan antara pihak berkuasa penerbangan awam kedua-dua negara.

Jurucakap Pertubuhan Penerbangan Awam Iran, Majid Akhavan berkata, pada peringkat awal, syarikat penerbangan Iran akan memulakan semula operasi ke UAE sebelum syarikat penerbangan Emirates menyusul dalam fasa berikutnya.

Langkah itu dijangka mempercepat pemulihan hubungan perdagangan dan pengangkutan udara dua hala antara Iran dan UAE selepas operasi kedua-dua sektor terjejas akibat konflik di rantau berkenaan.

Perkembangan itu menyusul perbualan telefon antara Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan rakan sejawatnya dari UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan semalam.

Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan serantau serta kepentingan mengekalkan keselamatan maritim dan kelancaran trafik di Selat Hormuz.
 

Must Watch Video

Advertisement