Skip to main content

Malaysia

Penghuni PUSPEN ketagihan dadah dan gangguan mental akibat dadah sintetik

Sumber: Sinar Harian
Ruslin berkata bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 1,346 daripada 5,030 pelatih penagih yang menjalani rawatan di PUSPEN serta dalam komuniti dikesan mengalami dua masalah itu. - Gambar fail/Sinar Harian

KEPALA BATAS: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini berdepan dengan cabaran baharu dalam usaha pemulihan penagih apabila semakin ramai penghuni di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) bukan sahaja mengalami ketagihan dadah, malah turut didiagnosis dengan gangguan kesihatan mental akibat dadah sintetik. 

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 1,346 daripada 5,030 pelatih penagih yang menjalani rawatan di PUSPEN serta dalam komuniti dikesan mengalami dua masalah itu.

"Kami mengesan peningkatan ketara kes ‘dual diagnosis’ dalam kalangan penagih dan penyalah guna dadah, iaitu keadaan apabila seseorang individu mengalami ketagihan dadah serta gangguan mental secara serentak.

"Perkembangan itu menjadi cabaran baharu kepada agensi kerana rawatan yang diberi bukan sahaja tertumpu kepada masalah ketagihan, malah turut melibatkan aspek kesihatan mental," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026, di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dataran Sungai Muda Kampung Titi Merdeka, di sini dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Daniel Gooi Zi Sen.

Ruslin berkata masalah dua diagnosis itu banyak dikaitkan dengan penggunaan dadah sintetik yang semakin meluas termasuk bahan terlarang yang dicampurkan ke dalam cecair vape dan mudah diperoleh dalam pasaran.

Beliau berkata gangguan mental yang dialami penagih dadah itu merangkumi pelbagai bentuk termasuk kemurungan, ketidakstabilan emosi dan halusinasi, malah terdapat juga kes yang menunjukkan kecenderungan mencederakan diri sendiri serta mempunyai pemikiran untuk membunuh diri akibat kesan penggunaan dadah sintetik.

''Antara perkara yang membimbangkan ialah terdapat kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri dan juga kecenderungan membunuh diri, keadaan itu dipercayai berpunca daripada halusinasi yang dialami mereka.

''Oleh itu, aspek rawatan mental perlu diberi perhatian serius kerana ia memberikan kesan langsung terhadap keberkesanan proses pemulihan penagihan dadah dan kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi perkara tersebut," katanya.

Keadaan itu juga, katanya, menyebabkan AADK perlu menambah baik modul rawatan sedia ada yang sebelum ini lebih tertumpu kepada ketagihan dadah tradisional seperti heroin, morfin dan ganja.

''Sekarang kita berdepan cabaran baharu kerana penagih bukan sahaja mengalami ketagihan, tetapi turut berhadapan masalah mental yang memerlukan pendekatan rawatan lebih menyeluruh dan ini memerlukan kita melihat semula modul pemulihan dari semasa ke semasa agar ia bersesuaian dengan pola penyalahgunaan dadah yang semakin berubah,'' katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement