Skip to main content

Malaysia

Kerajaan sasar lebih 5,000 peserta kuasai kemahiran AI melalui NADI

AI
Sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI, usaha ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kemahiran digital serta peningkatan daya saing komuniti dalam ekonomi digital. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan seramai 5,010 peserta menyertai Program AI for Community@NADI yang akan dilaksanakan di 167 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di 10 negeri, termasuk 17 lokasi di Johor.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu bertujuan memperluaskan pendedahan kepada kemahiran kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam kalangan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Para peserta didedahkan kepada asas dan aplikasi AI, termasuk kejuruteraan prompt, penggunaan untuk perniagaan mikro, peningkatan produktiviti serta amalan AI secara bertanggungjawab,” jelas kenyataan sempena perasmian NADI Kampung Parit Kemang, Batu Pahat oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.

Kenyataan itu menjelaskan, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pepper Labs dan Amazon Web Services (AWS) bagi memastikan masyarakat memperoleh kemahiran AI selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

"Pelaksanaan program itu turut disokong oleh pengiktirafan NADI di peringkat antarabangsa menerusi Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) serta peranannya sebagai Pusat Transformasi Digital di bawah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

"Pengiktirafan itu sekali gus membuka peluang kepada komuniti untuk mengakses pelbagai program dan pensijilan digital bertaraf global.

“Sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI, usaha ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kemahiran digital serta peningkatan daya saing komuniti dalam ekonomi digital,” jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, MCMC berkata program itu turut menyokong saranan "1 NADI 1 Jurutera Prompt”.

Jelasnya ia sebagai langkah membina keupayaan komuniti dalam penggunaan AI secara praktikal dan bertanggungjawab, sekali gus melahirkan individu rujukan di peringkat setempat.

Must Watch Video

Advertisement