Skip to main content

Bisnes

Jelajah JIWA SME 2026 buka tirai, angkat ekonomi warisan dan pelancongan

JIWA SME 2026_TB
Dari kiri: Andrew Pinto, Hafidah Samat, Kapten Dr Mohd Yusman Amran, Dr Grace Lee dan Zaiful Mohd Arifin pada majlis perasmian Jelajah Jiwa SME 2026 di sini pada Sabtu.

KUALA LUMPUR: Jelajah JIWA SME 2026 membuka tirainya dengan menampilkan tema Ekonomi Warisan dan Pelancongan, dalam usaha memperluas peluang perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi kekayaan budaya, warisan serta sektor pelancongan negara.

Penganjuran di Kuala Lumpur itu turut bersempena Hari PMKS Sedunia pada 27 Jun, selain selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang memberi penekanan kepada warisan budaya dan pengalaman pelancongan tempatan.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro merangkap Pengerusi Astro AWANI, Dr Grace Lee berkata, pelaburan dalam memperkasa potensi usahawan PMKS perlu dilihat sebagai usaha membina kekuatan ekonomi domestik secara lebih menyeluruh.

“Pelaburan terbaik yang boleh kita lakukan hari ini adalah dengan memperkasakan potensi usahawan PMKS.

“Sektor PMKS merangkumi lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia. Anda bukan sekadar angka atau statistik dalam laporan tahunan, sebaliknya jiwa dan penggerak ekonomi domestik,” katanya pada majlis perasmian Jelajah JIWA SME 2026.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Mohd Arifin; Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Hafidah Samat; serta Naib Presiden Jenama dan Pemasaran Unifi Business, Andrew Pinto.

Image
JIWA SME 2026_insert
Para tetamu kehormat tidak terlepas untuk meninjau reruai jualan dan pameran yang disediakan.

Beliau berkata, siri keempat jelajah itu dibangunkan bukan sebagai program televisyen atau karnival jualan bermusim, sebaliknya sebagai ekosistem berterusan yang menghubungkan usahawan dengan rakan korporat, pakar industri serta penyedia teknologi digital.

“Aliran tunai adalah oksigen perniagaan, tetapi strategi pemasaran dan transformasi digital adalah enjin yang memacu pertumbuhannya.

“Di sinilah JIWA SME hadir sebagai jambatan buat anda. Kami menawarkan platform berkredibiliti bukan sahaja untuk melonjakkan kebolehlihatan jenama dan mengukuhkan profil perniagaan, malah untuk membuka akses pasaran yang lebih luas menerusi kekuatan ekosistem kami,” katanya.

Jelasnya, lebih 400 rakan PMKS telah menyertai Jelajah JIWA SME sejak diperkenalkan pada 2023, dengan 139 daripadanya tampil membentangkan perniagaan menerusi sesi pitching.

Tambahnya, jangkauan digital inisiatif itu turut meningkat daripada 1.9 juta pada 2023 kepada 3.7 juta pada 2025, manakala lebih 900 kandungan berkaitan PMKS telah diterbitkan menerusi pelbagai platform di bawah jenama JIWA SME.

Image
JIWA SME 2026_insert
Suasana sekitar majlis pelancaran yang berlangsung penuh meriah .

Sementara itu, Naib Presiden Unifi Business, Kapten Dr Mohd Yusman Amran berkata, pelancaran jelajah kali ini pada 27 Jun memberi makna tersendiri kerana tarikh itu diiktiraf sebagai Hari PMKS Sedunia.

“Hari ini merupakan hari yang sangat istimewa kerana kita meraikan tulang belakang ekonomi negara. Ini juga kali pertama Jelajah JIWA SME dilancarkan pada Hari PMKS Sedunia,” katanya.

Beliau berkata, Unifi Business melihat pendigitalan sebagai antara elemen penting dalam membantu PMKS mengembangkan operasi serta menyesuaikan strategi perniagaan dengan perubahan pasaran.

Menurutnya, program Impak Biz yang diperkenalkan tahun lalu telah melibatkan kira-kira 3,000 usahawan untuk menilai tahap kesediaan digital mereka, khususnya dalam aspek interaksi pelanggan, operasi, penggunaan data dan strategi digital.

“Bagi usahawan mikro, keperluan utama banyak tertumpu kepada sokongan pemasaran dan jualan. Bagi perusahaan yang lebih besar pula, penggunaan analitik data menjadi antara keperluan penting untuk membantu mereka berkembang,” katanya.

Jelasnya, Unifi Business kini menyokong lebih 420,000 usahawan, manakala usaha memperkukuh kesediaan digital PMKS perlu diteruskan lagi bagi membolehkan lebih banyak perniagaan tempatan merebut peluang dalam ekonomi digital.

Jelajah JIWA SME 2026 akan diteruskan ke Kota Kinabalu, Sabah dengan tema Agromakanan dan Kelestarian, sebelum ke Kuala Terengganu, Terengganu yang mengetengahkan Ekonomi Kreatif dan Kraftangan.

Siri jelajah itu kemudiannya akan ke Kelana Jaya, Selangor dengan tema Fesyen dan Kecantikan, sebelum berakhir di Alor Setar, Kedah menerusi tema Ekonomi Kopi dan Budaya Kafe.

Image
JIWA SME 2026_insert
Tahun ini, Jelajah JIWA SME turut tampil dengan pendekatan baharu menerusi pelancaran Podcast JIWA SME secara langsung di lokasi, selain memperkenalkan zon interaktif serta aktiviti eksklusif yang sesuai untuk seisi keluarga.

Antara pengisian utama podcast berkenaan ialah perkongsian oleh Pengasas Infiniti Group, Puan Sri Tiara Jacquelina, bersama Pengasas Sentosa Janda Baik, Omar Ariff, mengenai strategi mengangkat warisan menjadi perusahaan yang mampu menjana pendapatan tinggi.

Selain itu, juga terdapat pengisian daripada Pengarah Pollin8 Sdn Bhd, Lee Jia Peng, serta Pengurus Merchandising BookXcess, Farah Diana, yang mengupas konsep memperkenalkan jenama dan strategi memilih lokasi yang tepat sebelum menceburi bidang keusahawanan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari jiwasme.com.my.

Must Watch Video

Advertisement