NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berjanji memberikan sokongan penuh badan dunia itu kepada usaha bantuan gempa bumi di Venezuela, menurut jurucakapnya pada Jumaat, lapor Xinhua.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric berkata Guterres menghubungi Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez menerusi telefon pada malam Khamis dan menyatakan solidariti beliau kepada rakyat serta kerajaan Venezuela susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu.
Beliau berkata Guterres turut berjanji bahawa "seluruh sistem PBB akan memberikan kerjasama penuh" bagi menyokong usaha bantuan yang diterajui kerajaan Venezuela.
Sementara itu, menurut Dujarric, PBB bersama rakan kemanusiaannya sedang memperhebatkan operasi tindak balas dengan menjalankan penilaian situasi serta menggerakkan bantuan.
Beliau berkata Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB Tom Fletcher telah meluluskan peruntukan sebanyak US$15 juta daripada Dana Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) bagi menyokong bantuan segera yang dapat menyelamatkan nyawa di Venezuela.
Dujarric berkata Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) turut menyokong usaha penyelarasan di lapangan, memudah cara perkongsian maklumat serta bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan pasukan mencari dan menyelamat antarabangsa dapat digerakkan secara berkesan.
Menurut beliau, sebanyak 30 pasukan mencari dan menyelamat dikerah ke Venezuela, melibatkan lebih 1,600 anggota dan 100 ekor anjing pengesan dari pelbagai negara.
-- BERNAMA-XINHUA