BANDAR PERMAISURI: Daerah Setiu melakar sejarah baharu apabila hidangan Udang Celup Tepung Terpanjang sepanjang satu kilometer secara rasmi tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini.
Pegawai Daerah Setiu Yusaini Amir Mohamad Nor berkata program ikonik anjuran Pejabat Daerah Setiu yang berlangsung di Laman Seri Rhu Sepuluh, Penarik itu dijayakan oleh 21 peserta terdiri daripada peniaga udang celup tepung sedia ada di sekitar Pantai Penarik dan Kampung Rhu Sepuluh.
Beliau berkata rekod berkenaan dicapai menerusi susunan 547 meja dengan penggunaan satu tan metrik udang, bersamaan dengan kira-kira 100,000 ekor udang.
"Kesemua bekalan udang itu disumbangkan sepenuhnya oleh penternak udang tempatan terkemuka, Blue Archipelago. Udang-udang ini digoreng sendiri oleh peniaga yang terlibat mengikut resipi, keunikan dan cara masakan masing-masing sebelum dihidangkan secara sebaris di sepanjang pesisir pantai," katanya kepada pemberita di lokasi program di Laman Rhu 10, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris yang menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan daripada pihak MBOR.
Yusaini Amir berkata terdapat kira-kira 40 peniaga udang celup tepung yang aktif beroperasi di Pantai Penarik dan Kampung Rhu Sepuluh.
Beliau berkata pihaknya berharap penganjuran program itu dapat terus mempromosikan produk pelancongan makanan daerah Setiu, sekali gus merancakkan ekonomi peniaga tempatan.
"Program ini dijangka menarik kehadiran ribuan pelancong dari dalam dan luar Terengganu, sekali gus meningkatkan kadar penginapan di inap desa serta hotel bajet berhampiran.
"Ia juga membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada usahawan produk hiliran tempatan seperti pengusaha keropok lekor, sos cili dan kraf tangan, sekali gus meletakkan Pantai Penarik sebagai hab pelancongan gastronomi utama negara," katanya.
Acara pengiktirafan daripada MBOR itu merupakan kemuncak Karnival Pekan Budaya Daerah Setiu 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 25 Jun hingga hari ini.
Sepanjang karnival itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk Penarik Beach Run yang menarik penyertaan kira-kira 1,000 peserta, Program Bersih Pantai, Program Penanaman 2,000 Pokok Gelam bagi usaha pemeliharaan alam sekitar serta pameran melibatkan pelbagai agensi kerajaan.
Karnival berkenaan dianjurkan bagi mempromosikan daerah Setiu sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan, budaya dan gastronomi, di samping merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.
-- BERNAMA