Skip to main content

Politik

PRN: Tarik diri, Gerakan gantung Jawatankuasa Perhubungan Negeri Johor

61472915022_PartiGerakan.jpg
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pusat yang dipengerusikan oleh presiden parti itu Datuk Dominic Lau semalam. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggantung Jawatankuasa Perhubungan Negeri Johor berkuat kuasa serta-merta susulan tindakan menarik diri daripada menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara unilateral tanpa sebarang rundingan atau kelulusan kepimpinan pusat.

Setiausaha Agung Gerakan Wong Chia Zhen berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pusat yang dipengerusikan oleh presiden parti itu Datuk Dominic Lau semalam.

“Setelah meneliti perkara tersebut, Jawatankuasa Pusat sebulat suara berpandangan bahawa tindakan berkenaan merupakan satu salah laku serius kerana melanggar disiplin parti, prinsip kepimpinan kolektif serta tatacara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan parti.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pusat memutuskan secara sebulat suara untuk menggantung Jawatankuasa Perhubungan Negeri Johor berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan dan tindakan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memastikan kelangsungan pentadbiran dan persiapan parti menghadapi PRN Johor tidak terjejas, Wong berkata Jawatankuasa Pusat melantik Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong, sebagai pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Johor berkuat kuasa serta-merta.

“Parti Gerakan menyeru seluruh ahli parti agar kekal tenang, menghormati keputusan organisasi serta terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha membantu dan berkempen bagi calon-calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor.

“Parti akan terus mempertahankan prinsip disiplin, perpaduan dan keutuhan organisasi demi memastikan perjuangan parti serta kepentingan gabungan PN terus diperkasakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement