AKTIVIS hak kanak-kanak terkemuka Rachel Accurso mendesak akauntabiliti antarabangsa dan tindakan segera bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak Palestin di Asia Barat.
Beliau yang menggunakan nama pentas Ms Rachel berkata demikian dalam satu taklimat media bersama Chris Sidoti, pesuruhjaya serta pengarang bersama laporan Suruhanjaya Siasatan PBB yang memperincikan kekejaman ketenteraan Israel.
"Kita sedang melihat kanak-kanak yang sama seperti anak-anak kita sendiri cuba bertahan daripada genosid, namun masih tiada tindakan mahupun akauntabiliti diambil," kata Accurso menerusi satu hantaran video di akaun Instagram miliknya, msrachelforlittles.
Laporan baharu badan dunia itu mengesahkan wujudnya corak serangan terancang pasukan keselamatan Israel yang secara sengaja menyasarkan kanak-kanak, sekali gus mencabuli undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Sementara itu, Sidoti menyifatkan bukti dokumentasi yang dikumpul dalam laporan berkenaan sebagai sesuatu yang amat memilukan.
Beliau menegaskan setiap negara mempunyai obligasi undang-undang yang jelas untuk bertindak bagi menangani konflik yang semakin meruncing di wilayah bergolak itu.
"Negara-negara mempunyai obligasi untuk bertindak, obligasi undang-undang untuk bertindak. Kita sepatutnya sudah bertindak tiga setengah tahun lepas, namun belum terlambat untuk bermula sekarang," katanya.
Taklimat media itu turut mengetengahkan bukti forensik perubatan mengenai kecederaan kanak-kanak Palestin serta pendedahan mengenai kemusnahan infrastruktur kritikal seperti sekolah dan hospital di Gaza akibat serangan berterusan Israel.