NILAI: Sembilan individu termasuk pemandu bas cedera dalam kejadian sebuah bas ekspres terbabas di Kilometer 275.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata dalam kemalangan kira-kira 6.30 petang itu, bas ekspres yang membawa 15 penumpang dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur menuju Johor Bahru dipercayai hilang kawalan dan melanggar tiang konkrit.
"Akibat kemalangan itu, pemandu bas tersepit di tempat duduk manakala pembantu bas dan tujuh penumpang berusia 19 hingga 53 tahun mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan lanjut.
Johari berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA