MAYAT seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemukan dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan berhampiran landasan kereta api di Pattaya, Thailand, manakala seorang lelaki warga Australia ditahan polis susulan siasatan kes kehilangan mangsa.
Menurut polis Thailand, laporan kehilangan mangsa dibuat oleh rakannya selepas gagal menghubungi remaja itu selama lebih 24 jam, lapor Khaosod English.
Siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dilihat berjalan berpegangan tangan dengan seorang lelaki warga Australia pada 3.34 pagi, 25 Jun sebelum memasuki sebuah kondominium di Jalan Jomtien Second dan menuju ke sebuah unit di tingkat 15 bangunan berkenaan.
Bagaimanapun, polis berkata mangsa tidak lagi kelihatan meninggalkan bangunan itu, manakala rakaman CCTV lain menunjukkan lelaki terbabit mengheret keluar sebuah beg pakaian hitam dari kondominium berkenaan pada 9.34 malam hari yang sama sebelum memuatkannya ke atas sebuah motosikal.
Suspek kemudian menunggang motosikal melalui Jalan Sukhumvit sebelum memasuki Soi Chaiyaphruek 2 dan bergerak ke kawasan bersebelahan landasan kereta api.
Polis memaklumkan lelaki itu hilang daripada liputan CCTV selama lebih sembilan minit sebelum kembali ke kondominium tanpa membawa beg pakaian tersebut.
Pemeriksaan polis di unit kondominium berkenaan menemukan kesan pergelutan, namun mangsa dan suspek tidak berada di lokasi, sekali gus mendorong pihak berkuasa melancarkan usaha mengesan lelaki terbabit.
Pada kira-kira 7 malam, 26 Jun, polis berjaya menahan suspek yang dikenali sebagai Simon, 46, di Lapangan Terbang Suvarnabhumi ketika dia dipercayai cuba membeli tiket untuk pulang ke Australia.
Polis turut menemui kesan calar pada bahagian leher dan lengannya yang dipercayai akibat terkena kuku.
Hasil penjejakan laluan pergerakan suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah kawasan rumput di tepi landasan kereta api, kira-kira 4.2 kilometer dari kondominium terbabit, di mana sebuah beg pakaian hitam bersaiz 26 inci ditemukan pada 11.17 malam.
Pasukan polis mengesahkan terdapat mayat manusia di dalam beg pakaian itu sebelum pemeriksaan forensik dijalankan.
Polis berkata mayat seorang wanita muda tanpa pakaian ditemukan dalam keadaan disumbat ke dalam beg berkenaan dan ditutupi dengan kain berwarna coklat.
Mayat itu mempunyai kesan kecederaan serius pada bahagian muka dipercayai akibat serangan ganas.
Pasukan forensik menganggarkan mangsa telah meninggal dunia sekurang-kurangnya dua hari sebelum mayatnya ditemukan.
Polis memaklumkan ciri fizikal serta tatu pada tubuh mangsa sepadan dengan remaja perempuan yang dilaporkan hilang itu.
Mahkamah Wilayah Pattaya turut meluluskan waran tangkap terhadap suspek, manakala polis meneruskan siasatan termasuk menunggu keputusan forensik bagi menentukan punca kematian dan sama ada pertuduhan tambahan akan dikenakan.