Skip to main content

Politik

PRN Johor: 'Mungkin ada perbincangan UMNO-Pas di bawah' - Zahid

PONTIAN, 27 Jun -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawab pertanyaan pengamal media pada majlis makan tengah hari bersama jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut (N.53) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai sebarang perjanjian rasmi melibatkan kedua-dua parti itu. - Gambar/ Bernama

SIMPANG RENGGAM: Terdapat kemungkinan wujud perbincangan melibatkan UMNO dan Pas di peringkat bawahan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun ia bukan pendirian rasmi Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun Pengerusi Barisan Nasional yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai sebarang perjanjian rasmi melibatkan kedua-dua parti itu.

“Saya tidak dengar mengenai perkara itu. Mungkin ada perbincangan di peringkat bawahan… itu biasa dalam politik,” katanya kepada pemberita di majlis makan tengah hari bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keputusan rasmi BN adalah bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Hakikatnya, kita mahu pergi solo dan terbukti kita meletakkan calon Barisan Nasional di seluruh 56 kerusi DUN. Tidak ada seorang pun calon kita yang memberikan laluan kepada parti lain,” katanya.

Kenyataan itu susulan perkembangan semasa yang menunjukkan tanda-tanda kemungkinan penjajaran politik tidak rasmi di Johor.

Analisis Astro AWANI sebelum ini melaporkan terdapat petunjuk awal kepada kerjasama taktikal antara UMNO dan Pas di beberapa kawasan, yang berpotensi mengurangkan pertembungan sesama parti Melayu dalam pilihan raya kali ini.

Perkembangan itu dilihat boleh memberikan kelebihan strategik kepada pihak tertentu dengan mengelakkan perpecahan undi dalam kalangan pengundi Melayu, sekali gus mengubah corak pertandingan tradisional.

Dalam masa sama, Zahid turut menekankan bahawa walaupun wujud perbezaan pandangan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, kempen di Johor perlu dijalankan secara matang dan berhemah tanpa serangan peribadi.

“Kita tidak serang kawan walaupun berbeza pandangan… kita perlu lihat gambaran yang lebih besar di peringkat nasional,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement