Skip to main content

Politik

PRN Johor: 'Hafiz lawan Hafiz', calon PH mahu bawa 'nur' ke Machap

NOR HAFIZ
Calon PH bagi DUN Machap, Nor Hafiz Roslan, mahu membawa "nur" atau sinar baharu kepada kawasan itu dengan menawarkan kepimpinan yang lebih dekat dengan rakyat pada PRN Johor. - Foto Nor Hafiz Roslan

SIMPANG RENGGAM: Pertembungan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menyaksikan persaingan antara dua calon yang berkongsi nama 'Hafiz'.

Calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah, Nor Hafiz Roslan, berkata beliau mahu membawa "nur" atau sinar baharu ke kawasan itu jika diberi mandat.

Nor Hafiz yang berdepan penyandang merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengakui persaingan itu bukan mudah. 

Namun, beliau menyifatkannya sebagai peluang menawarkan kepimpinan baharu kepada pengundi Machap.

"Saya nak tunjukkan bahawa rakyat Johor, khususnya rakyat Machap, berhak mendapat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang benar-benar cakna.

"Bukan sekadar terkenal di luar, tetapi juga disayangi di Machap," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata, pengundi kini semakin matang dan membuat penilaian berdasarkan rekod perkhidmatan serta dasar yang ditawarkan, bukan semata-mata populariti seseorang pemimpin.

"Penjenamaan semua orang boleh buat.

"Tetapi khidmat yang dirasai rakyat itu susah untuk diperolok-olokkan kerana rakyat sendiri yang merasainya," katanya.

Mengulas mengapa pengundi perlu memilih beliau berbanding penyandang, Nor Hafiz berkata perubahan hanya dapat dicapai jika rakyat berani memberikan mandat kepada kepimpinan baharu.

Menurutnya, Machap memerlukan seorang wakil rakyat yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada keperluan penduduk setempat.

"Kalau kita terus mengekalkan perkara yang sama, kita tidak akan dapat mencapai kemajuan yang lebih baik.

"Jika rakyat Machap mahukan wajah baharu, cara baharu dan kepimpinan yang lebih cakna kepada rakyat, pilihannya adalah saya," katanya.

Pada PRN Johor 2022, Onn Hafiz daripada Barisan Nasional (BN-UMNO) memenangi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menewaskan Azlisham Azahar (PN-Pas), R Sangaran (MUDA) dan Sharuddin Md Salleh (Pejuang).

Pada PRN Johor kali ini, DUN Machap yang mempunyai 35,206 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Onn Hafiz Ghazi (BN-UMNO) dan Nor Hafiz Roslan (PH-Amanah).

Must Watch Video

Advertisement