KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang didakwa dijadikan bahan kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Anwar berkata JS-SEZ merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri, dan bukan di bawah bidang kuasa Menteri Besar semata-mata.
“Isu-isu seperti yang dibangkitkan, umpamanya Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) ini di bawah Menteri Besar, itu tidak betul dan itu sudah dijelaskan oleh Menteri Ekonomi semalam. Ini projek Kerajaan Persekutuan, tentu dia ada kerjasama dengan Kerajaan Negeri.
“Perkara menandatangani perjanjian itu antara Perdana Menteri Malaysia dengan Perdana Menteri Singapura. Ia belum sampai ke peringkat Menteri Besar.
“Jadi tidak perlu jadikan ini isu. Projek pelaksanaan sedang berjalan, melibatkan perbelanjaan tinggi serta mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan.
“Sudahlah tidak berterima kasih, dia gunakan isu sebagai bahan kempen. Itu tidak kena dan tidak cerdik,” beliau berkata demikian ketika ditemui media di Masjid As-Sodiqin pada Jumaat.
Terdahulu, Onn Hafiz dilaporkan berkata pelan induk JS-SEZ sudah siap dan tidak wajar terus ditangguhkan kerana ia penting bagi memberi kepastian kepada pelabur serta hala tuju pembangunan ekonomi Johor.
Beliau berkata pelan itu pada asalnya dijadualkan diumumkan pada penghujung 2025 sebelum tarikh baharu ditetapkan pada 30 Mac, namun sekali lagi ditangguhkan.