Fenomena El Niño dijangka bertambah serius dalam masa terdekat, membawa bersamanya cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan gelombang haba dari Julai hingga September tahun ini.
Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), ini susulan pemanasan permukaan bumi yang menyebabkan perubahan corak angin, tekanan serta taburan hujan.
Susulan itu, WMO menyemak naik tahap El Niño tahun ini kepada tahap tiga, dengan tahap empat merupakan tahap maksimum bagi fenomena cuaca itu.
"El Niño telah berkembang di kawasan pasifik tropika dan diramal akan menguat dengan pantas dalam beberapa bulan akan datang, meningkatkan kemungkinan cuaca ekstrim di banyak pelusuk dunia," kata WMO dalam laporan cuaca bulannya hari ini.
Fenomena El Niño biasanya terjadi setiap dua hingga tujuh tahun, dan berlangsung sekitar sembilan hingga 12 bulan.
Pertubuhan itu berkata, ramalan terbaharu itu dibuat berdasarkan penelitian laporan daripada beberapa pusat iklim di serata dunia, yang menggunakan pelbagai model ramalan cuaca.
Sebelum ini, El Niño merupakan salah satu faktor yang menyebabkan 2023 dan 2024 menjadi dua tahun paling panas dalam sejarah, dengan suhu purata kedua-dua tahun itu meningkat 1.55℃ berbanding suhu sebelum era perindustrian.