SHAH ALAM: Seorang pekerja kebun warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan di Puncak Alam, Selasa lepas.
Md Habibullah, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah Nissan Almera secara melulu di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, pada 8.23 malam, 21 Julai lepas sehingga menyebabkan kematian Muhammad Jafni Baharudin, 28.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M. Partiben yang mewakili tertuduh memohon jaminan munasabah dengan alasan anak guam mereka baru menimang cahaya mata dan merupakan penanggung utama keluarganya di Bangladesh dengan pendapatan RM1,800 sebulan.
“Mahkamah telah memutuskan bahawa hak untuk mendapatkan jaminan tidak hanya tertakluk kepada warganegara sahaja, namun bukan warganegara juga boleh dijamin dan penjamin yang hadir adalah majikan beliau sendiri yang kenal dan tahu alamat kediaman OKT,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warganegara serta menetapkan syarat tambahan supaya dia melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Lesen memandu tertuduh turut digantung sehingga kes selesai, manakala mahkamah menetapkan 25 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan seorang penghantar makanan maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah Nissan Almera ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam pada 21 Julai lepas.
-- BERNAMA