Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: BN sedia pikul amanah tadbir negeri – Jalaluddin

BN, jalaluddin alias, politik_AWANI
Jalaluddin berkata, BN bukan sekadar bertanding, sebaliknya membawa satu matlamat dan visi baharu kepada rakyat Negeri Sembilan. - Foto Astro AWANI

JELEBU: Barisan Nasional (BN) menegaskan kesediaannya memikul amanah mentadbir Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN bukan sekadar bertanding, sebaliknya membawa satu matlamat dan visi baharu kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Insya-Allah, saya dan pasukan saya akan pikul tanggungjawab dan amanah ini untuk memberikan sepenuhnya keselesaan, kesejahteraan, pembangunan di samping memperkukuhkan dan memperkasakan ekonomi rakyat,” ujar beliau ketika ditemui media pada Program Rahmah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di Kampung Tohor, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sambutan yang diterima sepanjang tujuh hari berkempen daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli, amat menggalakkan.

“Yang lebih menggembirakan hati saya ialah respon daripada anak-anak muda terhadap calon-calon kita daripada Barisan Nasional sangat menggalakkan.

“Apa yang saya harapkan supaya respon yang sebegini rupa dapat diterjemahkan ke kertas undi pada 1 Ogos nanti untuk beri kemenangan kepada calon-calon daripada Barisan Nasional,” katanya lagi.

Dalam saingan tiga penjuru, Jalaluddin yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Umry Abdul Khois dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus.

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai manakala hari mengundi 1 Ogos.

Must Watch Video

Advertisement