KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah susulan insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar di Seri Kembangan, di sini baru-baru ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau keganasan membabitkan warga sekolah.
Menurut kenyataan itu, kes berkenaan kini dalam siasatan polis dan JPN Selangor memberi kerjasama penuh bagi membantu proses siasatan.
"JPN Selangor tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku keganasan yang melibatkan warganya. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Pada masa sama, JPN Selangor memaklumkan intervensi melalui perkhidmatan bimbingan dan kaunseling turut dilaksanakan terhadap murid yang terbabit bagi membantu mereka menangani kesan insiden berkenaan.
JPN Selangor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes itu.
Selain itu, pihaknya mengingatkan perbuatan menyebarkan identiti kanak-kanak bawah umur yang terbabit dalam kes berkenaan adalah satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang.
Terdahulu, media melaporkan beberapa individu ditahan selepas seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bersama bapanya didakwa dipukul di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan pada 3 Julai lalu.
Mereka dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk direman pada Jumaat.