KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 109 pekerja binaan warga asing dalam serbuan di sebuah bangunan komersial di Jalan Ampang di sini semalam, sekali gus membongkar cubaan pengubahsuaian beberapa unit premis di situ sebagai kelab hiburan eksklusif.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan pada 11.45 pagi itu dijalankan hasil risikan selama tiga minggu susulan aduan awam berhubung kehadiran warga asing khususnya rakyat China yang dilihat semakin ketara di kawasan terbabit.
Beliau berkata sebanyak 120 individu diperiksa oleh 58 pegawai imigresen dalam serbuan di Aras 18 Menara 1 dan Aras 24 Menara 3 bangunan itu.
"Semasa serbuan, warga asing terbabit sedang giat melakukan kerja pengubahsuaian di beberapa unit premis yang dipercayai bakal beroperasi sebagai kelab hiburan eksklusif dilengkapi sistem kawalan keselamatan berlapis serta akses masuk dikawal rapi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Siasatan awal mendapati sebahagian besar mereka menggunakan pas lawatan sosial namun bekerja tanpa kebenaran, selain terdapat individu disyaki tinggal lebih masa serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata kesemua pekerja binaan ditahan itu terdiri daripada 78 lelaki warga China serta 31 lelaki warga Bangladesh, Myanmar dan India berumur antara 30 hingga 43 tahun.
Mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan disyaki menjadi pengurus atau individu yang bertanggungjawab menguruskan kehadiran warga asing di premis berkenaan turut ditahan.
"JIM turut mengeluarkan Saman kepada Saksi (Borang 29) kepada seorang penyelia Badan Pengurusan Bersama di bangunan komersial tersebut bagi tujuan membantu siasatan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin serta tiada kompromi terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas di negara ini," katanya.
-- BERNAMA