Skip to main content

Malaysia

Mangsa bot terbalik ditemukan meninggal dunia di Sungai Galas

71718803228_LogoPDRM.jpg
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa Mohd Ilham Che Mat Satar, 27, ditemukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi botnya ditemukan.

GUA MUSANG: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya terbalik di Sungai Galas, Kampung Batu 6 di sini pada Isnin lepas, ditemukan meninggal dunia di tepi sungai itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa Mohd Ilham Che Mat Satar, 27, ditemukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi botnya ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

“Mangsa berjaya ditemukan pada 1 tengah hari tadi dan diserahkan kepada pihak polis 1.53 tengah hari.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang bermula sejak Isnin, turut disertai anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang dan Dabong, Unit Anjing Pengesan K9, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sementara itu, ibu mangsa iaitu Rozita Ramli, 47, berkata dia menzahirkan rasa syukur apabila jasad anak kedua dari lima adik beradik itu, ditemukan dalam keadaan sempurna.

“Hari ini pihak masjid juga ada melakukan solat hajat agar usaha pencarian dipermudah. Alhamdulillah, abang Ngah (Mohd Ilham) ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dan masih memakai beg silangnya.

“Saya bersama-sama isteri arwah iaitu Nor Aida Sazliza Razali, 25, dan ahli keluarga yang lain turut menaiki bot ke lokasi dia ditemukan dan dapat melihat sendiri keadaannya ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Gua Musang hari ini.

Rozita turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari anaknya yang hilang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement