KUALA LUMPUR: Bekas menteri Datuk Seri Idris Jala mengesahkan beliau menghidap kanser paru-paru tahap tiga selepas biopsi mengesahkan ketumbuhan yang ditemui pada paru-paru kirinya.
Idris, 67, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata diagnosis itu mengejutkannya selepas beliau mendapatkan rawatan perubatan akibat batuk berpanjangan dan keletihan yang dialaminya selama beberapa bulan.
“Memang benar, saya kini disahkan menghidap kanser tahap 3C,” katanya dalam satu temu bual di saluran YouTube anaknya Leon Jala bertajuk The Game of Impossible baru-baru ini.
Idris berkata pemeriksaan awal X-ray di sebuah pusat perubatan menunjukkan ketaknormalan pada paru-parunya mendorong doktor untuk melakukan imbasan CT yang mengesan ketumbuhan bersaiz bola tenis.
Beliau berkata imbasan itu juga menunjukkan kemungkinan jangkitan pada beberapa nodus limfa dan ketumbuhan yang lebih kecil di sebelah kanan, menyebabkan doktor mengesyorkan biopsi.
Idris berkata doktor menolak pembedahan sebagai pilihan rawatan disebabkan tahap kanser paru-parunya, dengan kemungkinan rawatan melibatkan kombinasi kemoterapi, terapi sasaran, radioterapi dan imunoterapi.
Beliau berkata akan menjalani ujian lanjut termasuk imbasan PET-CT, imbasan otak dan ujian darah untuk menentukan jenis kanser, sama ada ia telah merebak ke bahagian lain badan serta rawatan yang sesuai.
“Saya tahu ia akan menjadi perjalanan yang sangat sukar tetapi saya bersedia untuk mengharunginya,” katanya.
Idris mengumumkan akan berehat daripada komitmen awam dan audio siar untuk menumpukan perhatian pada pemulihannya.
Idris memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 2009 sehingga 2015, menjadi Orang Ulu pertama yang memegang jawatan menteri Persekutuan selain turut mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).
-- BERNAMA