Skip to main content

Malaysia

Super El Nino: Suhu di Malaysia boleh cecah 39 - 40 darjah celcius - MetMalaysia

AMBUN MET MALAYSIA
Menurut Ambun, jangkaan itu dibuat berdasarkan analisis terhadap rekod suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia ketika episod El Nino yang kuat sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan suhu di negara ini berpotensi mencecah antara 39 hingga 40 darjah Celsius di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung sekiranya fenomena El Nino berkembang seperti yang diramalkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang, jangkaan itu dibuat berdasarkan analisis terhadap rekod suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia ketika episod El Nino yang kuat sebelum ini.

"Sejarah cuaca negara menunjukkan beberapa bacaan suhu ekstrem pernah direkodkan ketika fasa El Nino kuat, termasuk 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998, yang kekal sebagai antara bacaan tertinggi pernah dicatatkan di negara ini.

"Selain itu, suhu 39.3 darjah Celsius di Pahang pada 10 April 2016 serta 39.1 darjah Celsius di Alor Setar, Kedah pada 18 Mac 2019 turut direkodkan dalam keadaan cuaca yang dipengaruhi fenomena sama.

“Rekod-rekod ini menunjukkan bahawa suhu tertinggi di Malaysia lazimnya berlaku semasa episod El Nino yang kuat,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, pada Selasa.

Menurut beliau, berdasarkan corak sejarah tersebut, MetMalaysia menjangkakan suhu sekitar 39 hingga 40 darjah Celsius berpotensi direkodkan di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung sekiranya El Nino berkembang seperti ramalan model iklim semasa.

Ambun menjelaskan bahawa walaupun Malaysia merupakan negara tropika yang dikelilingi lautan, keadaan itu tidak menghalang peningkatan suhu ketika El Nino, sebaliknya hanya membantu mengurangkan kesan ekstrem berbanding negara beriklim sederhana atau kontinental.

“Cuma kita perlu faham, walaupun El Nino kuat berlaku, kesannya di Malaysia berbeza berbanding negara lain seperti di Eropah. 

"Kita tidak menjangkakan suhu melonjak terlalu tinggi sehingga 45 darjah Celcius yang berlaku di Eropah ketika ini kerana kelembapan kita masih tinggi.

"Sumber kelembapan dari Laut China Selatan, Selat Melaka serta kawasan perairan sekitar negara memainkan peranan penting dalam mengimbangi peningkatan suhu, termasuk membantu mengekalkan pembentukan awan dan hujan pada sesetengah keadaan," jelasnya.

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku episod cuaca panas berpanjangan sekiranya El Nino mencapai tahap lebih kuat, terutama pada kemuncaknya yang lazimnya berlaku sekitar awal tahun depan.

Mengulas rekod cuaca lalu, Ambun berkata suhu tinggi di Malaysia lazimnya dicatatkan pada fasa El Nino kuat, khususnya antara Mac hingga April, seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, MetMalaysia menegaskan bahawa jangkaan suhu 39 hingga 40 darjah Celsius bukanlah luar biasa berdasarkan sejarah cuaca negara, namun tetap memerlukan perhatian kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan awam, sumber air serta sektor ekonomi jika berpanjangan.

Dalam pada itu, MetMalaysia terus memantau perkembangan semasa fenomena El Nino dan akan mengemas kini ramalan dari semasa ke semasa bergantung kepada perubahan keadaan atmosfera dan lautan di rantau ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement