Skip to main content

Malaysia

Seni diplomasi PM Anwar lindungi kepentingan Malaysia di Selat Hormuz

Menerima sambutan rasmi penuh istiadat daripada, Presiden Serdar Berdimuhamedov di Istana Presiden, Ashgabat, yang mencerminkan keakraban hubungan dua hala serta persahabatan tulen yang telah terjalin sekian lama antara Malaysia dan Turkmenistan.
Anthony berkata, Anwar berjaya mengimbangi dasar luar Malaysia dengan mengutamakan kepentingan negara, meskipun banyak keputusan yang diambil dilihat berani. - Gambar fail/Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Seni diplomasi yang diamalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguruskan dasar luar negara disifatkan berjaya melindungi kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, hasil Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan Iran, sekali gus membolehkan Perdana Menteri menguruskan kepentingan negara ketika ketegangan di Selat Hormuz.

"Apabila berlaku ketegangan di Selat Hormuz, Perdana Menteri berjaya menguruskan kepentingan negara kita, termasuk memastikan kapal-kapal Petronas dapat melalui laluan itu.

"Sebab itu kita perlu menghargai peranan beliau. Ada seni dalam cara beliau menguruskan perbezaan dan liku-liku dasar diplomasi luar negara," katanya menerusi wawancara audio siar The Tiger Show Podcast yang disiarkan hari ini.

Anthony berkata, Anwar berjaya mengimbangi dasar luar Malaysia dengan mengutamakan kepentingan negara, meskipun banyak keputusan yang diambil dilihat berani.

Menurut beliau, pendekatan itu turut menimbulkan persoalan sama ada hubungan rapat Malaysia dengan kuasa-kuasa besar, termasuk China, akan menjejaskan hubungan dengan negara lain seperti Amerika Syarikat.

"Saya rasa banyak keputusan dan tindakan beliau dilihat berani. Mungkin ada pihak di luar, termasuk pemimpin negara lain, yang tertanya-tanya sama ada pendekatan itu mampu bertahan,"katanya.

Beliau turut berpandangan Anwar berjaya mengimbangi hubungan Malaysia dengan kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat menerusi pendekatan dasar luar yang pragmatik.

Menurut beliau, ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, mencerminkan keyakinan kedua-dua kuasa besar terhadap peranan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, keberanian Anwar turut terserlah apabila mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, meskipun langkah itu pada awalnya mengundang keraguan dalam kalangan sesetengah pihak.

Must Watch Video

Advertisement