Skip to main content

Malaysia

AI perlu dimanfaat semua lapisan masyarakat - Wan Azizah

51737798485_WanAzizahWanIsmai.jpg
WAN AZIZAH: Pendekatan kerajaan ialah memastikan kemajuan teknologi bukan hanya dinikmati oleh kelompok tertentu tetapi benar-benar membuka peluang kepada semua lapisan rakyat. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Akses kepada ilmu dan kemahiran kecerdasan buatan (AI) perlu diperluas bagi memastikan manfaat teknologi itu dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata melalui penggunaan yang betul dan bertanggungjawab, AI mampu membantu pelajar menimba ilmu, golongan pekerja meningkatkan kemahiran dan usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

"Inilah pendekatan Kerajaan MADANI iaitu memastikan kemajuan teknologi bukan hanya dinikmati oleh kelompok tertentu tetapi benar-benar membuka peluang kepada semua lapisan rakyat," katanya ketika merasmikan Jelajah AI MyMahir TalentCorp Edisi Bandar Tun Razak di sini semalam.

Program anjuran Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) itu menghimpunkan lebih 450 peserta terdiri daripada pelajar, belia, pendidik dan usahawan dengan memberi pendedahan praktikal melalui modul latihan amali serta bimbingan fasilitator industri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Biruntha Mooruthi berkata pendekatan amali yang diterapkan bertujuan memastikan peserta bukan sekadar memahami teori, malah mampu mengaplikasikan AI dalam pembelajaran serta pembangunan kerjaya masing-masing.

Beliau berkata setakat ini, lebih 6,000 peserta daripada pelbagai latar belakang telah mengikuti Jelajah AI MyMahir TalentCorp, sekali gus mencerminkan minat rakyat untuk memahami teknologi baharu.

"Tanggungjawab kami adalah memastikan pembelajaran tersebut mudah diakses, relevan dan dekat dengan keperluan sebenar mereka," katanya.

Melalui program itu, peserta turut diperkenalkan kepada asas AI, penggunaan teknologi secara bertanggungjawab serta perspektif industri mengenai peranan AI dalam pekerjaan dan ekonomi masa depan, selain menerima MyMahir AI Skills Credit bernilai RM5,000 bagi meneruskan pembangunan kemahiran berkaitan AI.

Jelajah AI MyMahir TalentCorp merupakan inisiatif Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang dilaksanakan oleh TalentCorp bagi membawa kemahiran AI secara praktikal dan mudah difahami kepada rakyat.

Sebelum ini, program berkenaan telah dilaksanakan di 11 kawasan Parlimen termasuk Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi, Sungai Buloh, Kluang, Parit Sulong, Sekijang, Paya Besar, Alor Gajah dan Port Dickson, manakala siri seterusnya akan diteruskan di Hang Tuah Jaya, Kota Melaka, Batu Sapi dan Damansara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement