RAMALLAH/ISTANBUL: Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin pada Khamis mengumumkan jadual rasmi bagi pilihan raya perundangan yang dijadualkan berlangsung pada 28 Nov, selaras dengan dekri presiden dan undang-undang pilihan raya umum, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata pusat pendaftaran pengundi di Tebing Barat akan dibuka pada 15 Ogos selama lima hari sehingga petang 19 Ogos.
Pencalonan calon akan dibuka pada 26 Sept dan berlangsung selama 12 hari sehingga petang 7 Okt, katanya.
Suruhanjaya itu memaklumkan kempen pilihan raya akan bermula pada 6 Nov dan berlangsung selama 21 hari, berakhir dengan bermulanya tempoh bertenang pilihan raya pada 27 Nov.
Pengundian awal bagi pasukan keselamatan akan diadakan pada 26 Nov manakala pengundian umum berlangsung pada 28 Nov.
Keputusan awal akan diumumkan dalam tempoh 24 jam manakala keputusan muktamad akan diterbitkan dalam tempoh dua minggu selepas hari pengundian selepas semua rayuan undang-undang selesai diputuskan, menurut suruhanjaya itu.
Pada 9 Julai, Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri menetapkan 28 Nov 2026 sebagai tarikh pilihan raya perundangan di Baitulmuqaddis Timur, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Pada Jun lalu, Abbas mengeluarkan dekri undang-undang yang meminda undang-undang pilihan raya umum dengan meningkatkan jumlah anggota Majlis Perundangan daripada 132 kepada 200 orang, menurunkan umur kelayakan calon daripada 28 kepada 23 tahun, mengurangkan ambang pilihan raya daripada 2.0 peratus kepada 1.0 peratus serta mewajibkan sekurang-kurangnya seorang wanita dalam setiap tiga calon dalam senarai pilihan raya.
Majlis Perundangan Palestin tidak lagi berfungsi sejak 2007 susulan perpecahan politik Palestin.
Abbas membubarkannya pada 2018 manakala pilihan raya perundangan terakhir diadakan pada 2006.
Wilayah Palestin kekal berpecah dari segi politik dan geografi sejak 2007, dengan Hamas mentadbir Semenanjung Gaza dan kerajaan yang dibentuk oleh Fatah menguruskan pentadbiran di Tebing Barat.
Berdasarkan dekri presiden itu, pilihan raya presiden pula dijadualkan berlangsung pada suku pertama 2027.
-- BERNAMA-ANADOLU