LONDON: Harga minyak dunia mencecah paras AS$100 setong buat kali pertama sejak Mei susulan kebimbangan baharu terhadap bekalan tenaga global ekoran konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Penanda aras global, minyak mentah Brent melonjak lebih enam peratus pada Khamis selepas mencatat peningkatan berterusan selama beberapa hari, ketika Amerika Syarikat (AS) memperhebat serangan ketenteraan terhadap Iran.
Lonjakan harga itu turut dipacu serangan kumpulan Houthi di Yaman terhadap kapal tangki minyak di Laut Merah, sekali gus mengancam laluan eksport penting yang digunakan Arab Saudi untuk mengelakkan Selat Hormuz, salah satu laluan penghantaran minyak paling strategik di dunia.
Pada masa sama, harga gas turut menunjukkan trend peningkatan sepanjang bulan lalu. Harga penanda aras gas di United Kingdom (UK) kini berada sekitar 150 pence setiap therm berbanding kira-kira 98 pence pada penghujung Jun.
Sebelum ini, harga minyak menunjukkan penurunan susulan gencatan senjata sementara antara AS dan Iran, malah kembali ke paras sebelum operasi ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari.
Bagaimanapun, kegagalan gencatan senjata itu diteruskan serta kenyataan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bahawa pihak berkuasa Iran masih belum bersedia mencapai sebarang perjanjian baharu, telah mencetuskan semula kebimbangan dalam pasaran tenaga global.
Risiko inflasi meningkat
Penganalisis memberi amaran bahawa konflik berterusan di Asia Barat boleh meningkatkan tekanan inflasi di banyak negara termasuk UK dan AS.
Kenaikan harga minyak lazimnya membawa kepada peningkatan harga petrol dan diesel, sekali gus memberi kesan langsung kepada pengguna.
Selain kos bahan api yang lebih tinggi, isi rumah juga berdepan kemungkinan kenaikan harga pelbagai barangan lain termasuk makanan apabila syarikat memindahkan kos pengangkutan yang semakin meningkat kepada pengguna.
Walaupun kadar inflasi di UK menurun kepada 2.6 peratus bagi tempoh sehingga Jun, dibantu oleh pengurangan harga petrol dan diesel sebelum ini, manakala inflasi AS susut kepada 3.5 peratus, terdapat kebimbangan bahawa trend penurunan tersebut mungkin tidak dapat dikekalkan.
Data terbaharu yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan harga petrol di UK meningkat sebanyak lima pence seliter sejak awal Julai dan kini menghampiri £1.56 seliter.
Harga diesel pula berada pada purata £1.72 seliter, menurut Persatuan Automobil Diraja (RAC).
Di AS, harga purata petrol kembali melepasi AS$4 segelen, meningkat daripada AS$3.92 sebulan lalu, menurut kumpulan advokasi pengguna jalan raya AAA.
Bank pusat berdepan dilema
Pengurus pelaburan Quilter Cheviot, Jonathan Raymond berkata, kenaikan kos bahan api dan tenaga berpotensi memberi kesan meluas kepada ekonomi.
Menurut beliau, peningkatan kos operasi perniagaan akhirnya akan diterjemahkan kepada harga makanan dan pelbagai barangan pengguna yang lebih tinggi.
"Ini mewujudkan cabaran baharu kepada bank pusat yang masih bergelut mengawal inflasi.
"Jika harga tenaga kekal tinggi, pembuat dasar mungkin terpaksa mengekalkan kadar faedah pada paras semasa lebih lama atau menaikkannya semula," katanya.
Situasi itu dijangka menambah tekanan kepada peminjam dan pemilik gadai janji yang masih berdepan kos pinjaman tinggi.
Bank of England (BoE) setakat ini mengekalkan kadar faedah pada 3.75 peratus dalam empat mesyuarat terakhirnya.
Ketua Ekonomi UK di Capital Economics, Paul Dales berkata, bank pusat itu hampir pasti akan mengekalkan kadar tersebut dalam mesyuarat akan datang, namun pasaran masih menjangkakan potensi penurunan kadar faedah pada tahun depan sekiranya harga tenaga kembali stabil.
Di AS, Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) yang baharu, Kevin Warsh, minggu lalu menegaskan bahawa bank pusat itu tidak akan bertolak ansur dengan inflasi yang kekal tinggi.
Warsh sebelum ini berdepan tekanan daripada Presiden Donald Trump yang mahu kadar faedah diturunkan bagi mengurangkan kos pinjaman rakyat Amerika.
Namun, pada mesyuarat pertamanya bulan lalu, Fed mengekalkan kadar faedah antara 3.5 hingga 3.75 peratus.
Warsh turut menegaskan komitmennya untuk memastikan kestabilan harga terus menjadi keutamaan, khususnya ketika konflik di Asia Barat semakin memberi kesan kepada pasaran tenaga dan ekonomi global. - Agensi