JEMPOL: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan wujud sebarang perbincangan rasmi mengenai cadangan penggunaan nama baharu, Perikatan Barisan Nasional (PBN) oleh Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat, malah beliau sendiri tidak pernah mendengar mengenai cadangan berkenaan.
“Saya pun tak pernah dengar. Cuma dia ‘syok-syok’ saja kot cadangkan. Bukan ada perbincangan sampai peringkat itu pun.
“Kita ini ada parti masing-masing, PN ada parti dia, BN ada parti dia, PBN ni pula ‘mai’ ikut mana? ‘Syok-syok’ sajalah.
“Saya anggap itu satu aksesori saja. Tak perlu dibesar-besarkan pun. Hal itu bukan hal dasar,” katanya ketika ditemui media pada Ceramah Umum Perdana PN & BN Parlimen Jempol, di sini, semalam.
Pada Rabu (22 Julai), Hamzah mencadangkan penggunaan nama PBN susulan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Kata Hamzah, cadangan itu bertujuan memudahkan rakyat mengenali gabungan tersebut sekali gus mengelakkan kekeliruan berhubung kerjasama yang terjalin antara PN dan BN.