Skip to main content

Malaysia

WTCKL sumbang lebih 4,000 buku kepada penghuni Penjara Kajang, perkasa budaya membaca

 World Trade Centre Kuala Lumpur Donates Over 4,000 Books to Kajang Prison to Promote Knowledge and Second Chances
WTCKL menyumbang 4,318 buku pelbagai genre kepada penghuni Penjara Kajang bagi memperkasakan budaya membaca dalam kalangan penghuni. - Foto WTCKL

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) berjaya mengumpul dan menyumbang 4,318 buku pelbagai genre kepada penghuni Penjara Kajang di Selangor bagi memperkasakan budaya membaca penghuni di situ. 

WTCKL dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan sumbangan orang ramai melalui kempen Book Donation Drive merangkumi koleksi buku keagamaan, novel, biografi, komik, buku rujukan, buku resipi serta bahan bacaan lain. 

Selain itu, bagi memastikan bahan bacaan tersebut disusun dan dimanfaatkan dengan lebih teratur, WTCKL memaklumkan mereka turut menyumbangkan tiga rak buku.

“Inisiatif ini bertujuan memberikan peluang kepada penghuni di situ untuk menimba ilmu dan membina masa depan yang lebih baik menerusi pembacaan,” menurut kenyataan itu.

WTCKL memaklumkan kempen tersebut diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di WTCKL dengan tiga lokasi pengumpulan disediakan sepanjang tempoh penganjuran pesta buku itu dari 29 Mei hingga 7 Jun.

Image
 World Trade Centre Kuala Lumpur Donates Over 4,000 Books to Kajang Prison to Promote Knowledge and Second Chances
Foto WTCKL

Dalam pada itu, WTCKL merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur pesta buku itu atas sokongan menerusi hebahan dan perkongsian di platform media sosial rasmi yang membantu meningkatkan kesedaran awam terhadap kempen tersebut.

“Sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan semangat rakyat Malaysia untuk berkongsi ilmu dan menyumbang kembali kepada masyarakat kekal teguh,” menurut kenyataan itu.

Image
 World Trade Centre Kuala Lumpur Donates Over 4,000 Books to Kajang Prison to Promote Knowledge and Second Chances
Foto WTCKL

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata pihaknya percaya setiap individu mempunyai peluang untuk memperbaik diri dan membina masa depan yang lebih baik.

“Menerusi kempen Book Donation Drive, kami berharap dapat menyumbang bahan bacaan yang bermanfaat bagi penghuni Penjara Kajang menimba ilmu dan meneroka perkembangan dunia.

“Kami berharap usaha ini dapat memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk turut serta menyumbang dan memberikan sokongan terbaik kepada mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement