NEW DELHI: Susulan tekanan yang semakin memuncak daripada parti pembangkang serta protes berhubung kebocoran kertas peperiksaan National Eligibility cum Entrance Test-Undergraduate (NEET-UG), iaitu peperiksaan utama kemasukan ke fakulti perubatan di India, Perdana Menteri India Narendra Modi pada Khamis berkata mahkamah khas akan ditubuhkan bagi mendakwa pihak yang bertanggungjawab, lapor Xinhua.
Pengumuman itu merupakan reaksi terbuka pertama Modi selepas beberapa hari protes oleh kumpulan belia dan parti pembangkang yang menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan Persekutuan Dharmendra Pradhan.
Di India, mahkamah khas itu diwujudkan bagi mempercepatkan pengendalian kes dan mengatasi kelewatan dalam sistem kehakiman negara itu yang sering dibebani kes, sehingga proses perundangan boleh berlarutan selama bertahun-tahun.
Bagaimanapun, beberapa minit selepas pengumuman Modi, pemimpin Parti Kongres India Rahul Gandhi membalas dengan menuduh perdana menteri itu "merosakkan" masa depan pelajar.
Sementara itu, kebuntuan di Parlimen India berterusan memasuki hari keempat pada Khamis apabila anggota pembangkang menuntut perbahasan mengenai tindakan polis terhadap pelajar yang mengadakan protes di New Delhi, selain mendesak peletakan jawatan segera Menteri Pendidikan.
Protes besar-besaran tercetus di India pada Mei berhubung kebocoran kertas peperiksaan dan pembatalan peperiksaan NEET-UG selepas itu.
NEET-UG ialah peperiksaan kelayakan untuk mengikuti pengajian perubatan di India dan merupakan syarat kemasukan ke kolej perubatan di seluruh negara. Lebih 2.2 juta calon menduduki peperiksaan itu pada 3 Mei di lebih 5,400 pusat peperiksaan di seluruh India.
Protes berkenaan dilihat sebagai cabaran terbesar daripada golongan belia terhadap Modi sejak beliau memegang jawatan pada 2014.
-- BERNAMA-XINHUA