KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 pasukan tarian singa terbaik negara bakal berentap pada peringkat separuh akhir Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Malaysia ke-21 2026 selepas melepasi pusingan kelayakan yang mencatatkan rekod penyertaan 88 pasukan.
Giliran pertandingan kesemua pasukan itu dimuktamadkan menerusi Majlis Cabutan Undi Peringkat Separuh Akhir yang dianjurkan Resorts World Genting (RWG) di Wisma Genting pada Khamis.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, jumlah penyertaan pada tahun ini merupakan yang tertinggi pernah direkodkan sepanjang penganjuran kejohanan tersebut.
“Kami amat berbesar hati kerana kejohanan kebangsaan tahun ini menerima 88 penyertaan, iaitu jumlah tertinggi pernah dicatatkan.
“Daripada jumlah itu, jawatankuasa memilih 20 pasukan ke peringkat separuh akhir yang akan menentukan tiga pasukan terbaik negara pada 26 dan 27 September ini,” katanya.
Menurutnya, edisi kali ini amat penting dalam usaha membentuk barisan terkuat negara selepas Malaysia terlepas peluang mempertahankan gelaran pada kejohanan dunia sebelum ini.
“Kami berharap tiga pasukan terbaik Malaysia pada tahun ini dapat meningkatkan prestasi dan meraih semula kejuaraan buat negara pada Kejohanan Dunia tahun hadapan,” tambahnya.
Beliau berkata, RWG telah menganjurkan siri kejohanan tarian singa kebangsaan dan antarabangsa secara konsisten selama 36 tahun, dengan edisi kebangsaan kini memasuki penganjuran kali ke-21.
Sepanjang tempoh itu, RWG turut bekerjasama dengan persatuan tarian singa bagi mencungkil bakat baharu serta meningkatkan standard persembahan pasukan tempatan.
Spencer berkata, tarian singa bukan sekadar menuntut kemahiran teknikal, malah memerlukan tahap kecergasan dan disiplin tinggi yang setanding dengan acara sukan lain.
“Tarian singa memerlukan kemahiran, stamina dan semangat kesukanan, manakala pasukan pada masa kini bukan sekadar membuat persembahan tetapi turut membawakan jalan cerita.
“Jawatankuasa juga menetapkan peraturan yang lebih ketat pada tahun ini bagi meningkatkan standard pertandingan dan mempersiapkan pasukan negara menghadapi Kejohanan Dunia tahun hadapan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berkata, tarian singa perlu terus diketengahkan melangkaui kedudukannya sebagai persembahan kebudayaan kerana berpotensi berkembang sebagai produk pelancongan dan acara sukan budaya bertaraf antarabangsa.
“Tarian singa ialah aspek penting dalam budaya negara dan juga produk pelancongan yang bernilai, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami melihatnya berkembang sebagai acara sukan yang mampu menarik pengunjung antarabangsa.
“Tarian singa hari ini bukan lagi hanya budaya masyarakat Cina kerana penglibatan pelbagai kaum menunjukkan ia telah menjadi budaya Malaysia dan satu warisan yang boleh diketengahkan ke pentas dunia,” ujarnya.
Beliau turut berharap jumlah penyertaan pada kejohanan akan datang mampu mencecah 100 pasukan bagi memperluas kumpulan peserta serta membuka lebih banyak ruang kepada pencarian bakat baharu.
“Pemilihan hanya 20 daripada 88 pasukan menunjukkan betapa sengitnya persaingan, dan kami berharap edisi kebangsaan akan datang mampu memecahkan rekod ini serta menerima sehingga 100 penyertaan,” katanya.
Kejohanan itu dianjurkan dengan sokongan khidmat perunding daripada Persekutuan Persatuan-Persatuan Tarian Naga dan Singa Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Pusingan separuh akhir akan berlangsung di Arena of Stars, RWG pada 26 September depan sebelum 10 pasukan terbaik mara ke pentas akhir sehari kemudian bagi merebut gelaran juara kebangsaan.
Tiga pasukan terbaik kejohanan itu seterusnya dijangka menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Dunia Tarian Singa Genting tahun hadapan dengan misi mengembalikan gelaran berprestij berkenaan kepada negara.
Juara kebangsaan akan membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi dan pingat, manakala naib juara serta pemenang tempat ketiga masing-masing menerima RM12,000 dan RM9,000 berserta trofi dan pingat.
Tujuh lagi pasukan yang mara ke peringkat akhir akan menerima RM3,000 setiap satu, manakala semua pasukan yang layak ke separuh akhir akan menerima RM2,000.
Anugerah Aksi Paling Sukar bernilai RM3,000 turut ditawarkan kepada pasukan yang mempamerkan aksi teknikal terbaik pada peringkat separuh akhir berdasarkan penilaian panel hakim rasmi.
Bagi menyemarakkan sambutan kejohanan, orang ramai boleh mengunjungi pameran khas tarian singa di Genting Guest Xperience Centre bersebelahan Crockfords mulai 1 Ogos depan.
Pas dua hari dijual pada harga RM268 bagi PS1 dengan tempat duduk bernombor dan RM168 bagi PS2 dengan tempat duduk bebas.
Tiket sehari bagi pusingan separuh akhir pula berharga RM129 untuk PS1 dan RM99 untuk PS2, manakala tiket pusingan akhir dijual pada harga RM248 untuk PS1 dan RM138 untuk PS2.
Setiap pembelian dikenakan caj pemprosesan RM4, dengan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi RWG atau ikuti platform media rasmi @resortsworldgenting