Skip to main content

Malaysia

PRN Johor: Cuaca baik, suasana terkawal iringi proses penamaan calon

BATU PAHAT, 27 Jun -- Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar mengiringi calon Pakatan Harapan (PH), Onn Abu Bakar (tengah) di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Senggarang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Dewan Seri Intan, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) hari ini.  Turut hadir calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rashid Hasnon dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Yusla Ismail.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengiringi calon PH, Onn Abu Bakar (tengah) di pusat penamaan calon DUN N.24 Senggarang bagi PRN Johor ke-16 di Dewan Seri Intan, ADTEC. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Cuaca baik melancarkan urusan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berlangsung di 56 pusat penamaan calon di seluruh negeri hari ini.

Suasana di beberapa pusat penamaan calon dilaporkan terkawal dengan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat membuat persiapan akhir serta menguruskan penerimaan kertas pencalonan yang akan berlangsung mulai 9 hingga 10 pagi.

Anggota keselamatan turut ditempatkan di setiap pusat penamaan calon bagi mengawal keadaan dan memastikan proses berkenaan berjalan lancar.

Pekarangan di beberapa pusat penamaan calon mula dipenuhi penyokong parti politik seawal 7.30 pagi bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

Berdasarkan laman sesawang, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan tiada hujan di kebanyakan daerah di Johor pada sebelah pagi, bagaimanapun ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat pada sebelah petang.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lepas dan SPR menetapkan 7 Julai ini bagi hari pengundian awal, manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.

Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement