ARAU: Hubungan erat yang sekian lama terjalin antara negeri Perlis dan wilayah-wilayah selatan Thailand terus diperkukuh menerusi pertemuan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC), Piyasiri Wattanavarangkul di Istana Arau, pada Jumaat.
Pertemuan itu dilihat sebagai platform penting untuk memperluaskan kerjasama strategik rentas sempadan berasaskan sejarah, budaya, agama dan hubungan kekeluargaan yang telah menghubungkan masyarakat di kedua-dua wilayah sejak sekian lama.
Titah Tuanku Syed Faizuddin, pertemuan berkenaan membuka ruang perbincangan dua hala bagi meneroka peluang kerjasama baharu selain memperkukuhkan inisiatif sedia ada yang mampu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Thailand.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah usaha memelihara dan memperkasakan warisan Melayu-Islam yang menjadi identiti bersama masyarakat di Perlis dan wilayah selatan Thailand.
Pemeliharaan bahasa Melayu, tulisan Jawi, budaya, adat resam dan tradisi Islam dilihat sebagai elemen penting dalam mengekalkan jalinan persaudaraan serta memperkukuh hubungan antara komuniti di kedua-dua negara.
Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, termasuk pelaksanaan program pertukaran pelajar dan guru, kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta peluang biasiswa kepada pelajar dari wilayah selatan Thailand untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Perlis, khususnya Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Dalam sektor agama, kedua-dua pihak turut meneliti peluang kerjasama berkaitan pengurusan masjid, pengajian al-Quran serta pembangunan industri halal yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat di kawasan sempadan.
Selain itu, sektor pelancongan dikenal pasti sebagai antara bidang yang mempunyai potensi besar untuk diperkasakan menerusi pembangunan laluan pelancongan warisan yang menghubungkan Perlis dengan Satun, Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat. Ekopelancongan serta promosi gastronomi dan makanan tempatan turut menjadi antara agenda yang dibincangkan bagi merancakkan industri pelancongan serantau.
Golongan belia juga diberi perhatian menerusi cadangan pelaksanaan program pembangunan kepimpinan, kerjasama sukan, pembangunan keusahawanan dan aktiviti kesukarelawanan bagi memupuk persefahaman serta hubungan jangka panjang antara komuniti di kedua-dua wilayah.
Turut dibincangkan ialah kerjasama dalam aspek kemanusiaan termasuk pengurusan bencana dan pelaksanaan program bantuan sosial bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan sempadan.
Hadir mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi; Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim; Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim; serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut berangkat ialah Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, manakala Pengarah Strategik, Komunikasi dan Hubungan Awam SBPAC, Thanyoporn Hataipitak turut menyertai delegasi Thailand.