PORT DICKSON: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji( TH) tidak didedahkan lebih awal bagi mengelakkan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu terjejas.
Beliau berkata, ketika kerajaan mengambil alih pentadbiran, Tabung Haji berdepan masalah serius termasuk kerugian melebihi RM10 bilion akibat penyelewengan.
Menurutnya, pendedahan laporan itu ketika keadaan Tabung Haji masih belum stabil dikhuatiri mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit sehingga menyebabkan pengeluaran dana secara besar-besaran.
“Sekarang tengah ribut tentang laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Tabung Haji. Apa cerita dia? Belum... belum... itu belum saya jadi Perdana Menteri dulu. Tapi apa yang jadi cerita dia? Ceritanya Tabung Haji ambil dana daripada orang kampung, orang Melayu, orang Islam, kemudian berlaku penyelewengan, rugi lebih RM10 bilion.
“Tapi orang kritik saya, mengapa tak terbitkan laporan itu? Saya kata pada masa itu, tiga tahun yang lalu, tak mampu kita terbitkan. Kalau kita terbitkan, rakyat hilang keyakinan kepada Tabung Haji, dia tarik dana Tabung Haji, Tabung Haji sebagai badan akan lingkup.
“Tapi sejak tiga tahun yang lalu, pengurusannya bertukar. Pengurusinya sekarang Tan Sri Rashid Hussain yang mempunyai rekod pengurusan yang cemerlang. Tabung Haji dah mula bertapak. Tapi rakyat harus tahu,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, di sini, pada Jumaat.
Media pada Khamis melaporkan Anwar berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Anwar berkata beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang dijangka selewat-lewatnya pada Rabu depan.