BALING: Seorang pekerja kedai runcit cedera dalam kejadian samun membabitkan empat lelaki bersenjata pedang di Kampung Kuala Lesung, Kuala Ketil, di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Baling, Supt Brandon Anak Richard Joe berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa lelaki berusia 20-an itu pada 9.02 malam, 1 Jun.
"Siasatan mendapati pada 8.45 malam Isnin lepas, mangsa yang merupakan lelaki tempatan didatangi empat suspek lelaki menaiki kereta jenis Perodua Bezza berwarna putih.
"Keempat-empat suspek masing-masing memakai topi keledar, topeng, jaket serta sarung tangan dan salah seorang daripada suspek memegang sebilah pedang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang memegang pedang bertindak melibas senjata itu ke arah mangsa menyebabkan kecederaan ringan pada bahagian belakang badan.
"Mangsa kerugian wang tunai akibat kejadian samun itu dan dia dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Baling. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan," katanya.
Brandon berkata, polis kini giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA