KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan sumbangan cek bernilai RM30,000 kepada Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), di sini hari ini.
Sumbangan itu dikurniakan Seri Paduka Baginda ketika berangkat mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah disambut oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Wan Hashim Wan Rahim.
Pada lawatan itu, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyaksikan persembahan tarian tradisional daripada pelajar SBJK, melihat hasil kraf pelajar sekolah serta beramah mesra dengan guru dan murid.
Terdahulu, Wan Hashim dalam sembah ucapannya berkata SBJK yang mula beroperasi pada 2013 ditubuhkan sebagai inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan akses pendidikan terbaik kepada kanak-kanak rentan di sekitar Chow Kit, serta memutuskan kitaran kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup mereka.
“SBJK kini mempunyai 16 guru dan 158 murid merangkumi peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah,” katanya.
Beliau berkata sekolah itu mencatat pencapaian membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menunjukkan peningkatan prestasi konsisten sejak 2014 serta merekodkan kelayakan sijil 100 peratus bagi tempoh 2022 hingga 2025.
“Bagi SPM 2025, kesemua 10 calon sekolah ini berjaya lulus sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata pihak sekolah turut melaksanakan Program Zero Murid Tanpa Dokumen (ZAMRUD) bagi memastikan setiap murid memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Usaha itu mendapat kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Program MEKAR Didik dan hasilnya sebanyak 61 murid berjaya memperoleh dokumen pengenalan diri masing-masing.
-- BERNAMA