Skip to main content

Politik

Pas tidak akan kemuka usul undi tidak percaya terhadap MB Perlis

Polis siasat MB Perlis lepaskan tembakan ke arah lembu korban
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebelum ini menitahkan supaya Abu Bakar (gambar) diberikan ruang untuk terus memimpin Perlis sehingga tempoh penggal DUN ke-15 berakhir. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pas tidak akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis kali ini.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pemuda Pas Perlis merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, yang menyatakan pendirian tersebut selari dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, untuk mengekalkan status quo pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan keadaan semasa.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju kepimpinan negeri, termasuk tindakan lanjut melibatkan enam ADUN Pas, tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat, khususnya selepas Mesyuarat Pas Pusat yang dijangka berlangsung minggu depan.

"Perkara itu (undi tidak percaya) kita tengok (kepada kenyataan Pengerusi PN Perlis semalam)... Saya pegang kenyataan Pengerusi PN Perlis, (Datuk Seri Shahidan) sebab beliau merupakan AJK Pas Pusat.

"Kalau saya nak banding dengan AJK Pas Pusat (beliau lebih berautoriti berhubung soal ini), (kerana) saya Ketua Pemuda Pas (Perlis sahaja)... Apa yang Shahidan kata, itu yang kami ikut (sebagai pendirian semasa)," katanya ketika ditemui media pada Sesi Persidangan Penggal Keempat DUN Perlis yang ke-15, di Kompleks Seri Putra di Perlis pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berhubung kestabilan politik dan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Menurutnya, kesemua ADUN perlu memahami peranan masing-masing khususnya menggunakan sesi persidangan kali ini sebagai medan untuk membawa suara rakyat di Kawasan masing-masing.

Pada 3 Jun, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan supaya Abu Bakar diberikan ruang untuk terus memimpin Perlis sehingga tempoh penggal DUN ke-15 berakhir, tanpa sebarang kacau ganggu yang boleh merencatkan perancangan negeri.

Must Watch Video

Advertisement