KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB), sekali gus memperkasa komitmen Malaysia dalam membangunkan ekosistem tenaga yang lestari, berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan masa depan yang dipacu kecerdasan buatan (AI).
Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 3 hingga 5 Jun ini, ETCon26 meneruskan momentum persidangan sulung pada 2023 yang menyaksikan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Dalam ucap tama beliau, Anwar berkata dunia kini berdepan cabaran tenaga yang semakin kompleks susulan ketidaktentuan geopolitik global, peningkatan permintaan tenaga dan perkembangan pesat AI yang memerlukan kapasiti elektrik lebih besar.
“Cabaran di hadapan kita bukan sahaja untuk menghasilkan lebih banyak tenaga, tetapi untuk memastikan ia kekal selamat, mampu milik dan mampan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Khamis.
Menurut beliau, pertumbuhan pesat pusat data, AI dan industri semikonduktor menjadikan peralihan tenaga sebagai antara keutamaan negara dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diteruskan secara mampan.
Anwar turut menegaskan bahawa TNB memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan tenaga negara ketika Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab digital serantau.
“Di sini letaknya peranan yang sangat utama dan kritis TNB,” tambahnya.
Anwar turut menekankan bahawa integrasi tenaga serantau menerusi Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid) menjadi semakin penting dalam memenuhi keperluan tenaga masa depan.
“Tiada sebuah negara pun yang mampu memenuhi permintaan ini secara bersendirian dengan cekap.
“Integrasi serantau bukan lagi satu aspirasi, ia adalah satu keperluan,” ujarnya.
Anwar berkata tema ETCon26, “Tenaga & Kecerdasan Buatan (AI): Sinergi Memacu Peralihan Tenaga”, amat bertepatan ketika dunia menyaksikan pertembungan antara keperluan tenaga dan revolusi digital yang sedang mengubah landskap ekonomi global.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia kini muncul sebagai destinasi utama pelaburan infrastruktur digital termasuk pusat data, khususnya di Johor, Lembah Klang dan Sarawak.
“Dalam hal ini, saya mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan TNB untuk membimbing peralihan tenaga negara dan menyampaikan janji-janji AI serta tenaga,” ujarnya.
Antara tumpuan utama hari kedua ETCon26 ialah majlis pertukaran dokumen Kontrak Bekalan Tenaga Dua Hala (BESC) di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) antara TNB dan DayOne, sebuah platform infrastruktur digital global yang berpangkalan di Singapura.
Perjanjian itu mencerminkan usaha berterusan negara dalam menggabungkan pembangunan ekonomi digital dan tenaga lestari, selain menyokong agenda AI Nation 2030 melalui penggunaan tenaga boleh baharu yang stabil dan boleh dipercayai.
ETCon26 turut menampilkan Dialog Peringkat Tertinggi Menteri bertemakan “Powering Malaysia’s Next Growth Chapter: Energy, Economy & Digital in Sync” yang menghimpunkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Perbincangan memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar tenaga, ekonomi dan digital bagi memperkukuh daya saing Malaysia sebagai negara yang bersedia menghadapi era AI.
Dalam masa sama, beberapa sesi utama turut mengupas isu berkaitan ASEAN Power Grid, perdagangan tenaga rentas sempadan, teknologi nuklear generasi baharu serta cabaran memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat akibat pertumbuhan AI dan pusat data.
Sementara itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata ETCon26 memperkukuh cita-cita Malaysia untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam pembangunan ekosistem tenaga yang mampan dan berdaya tahan.
“Ketika permintaan tenaga daripada AI dan industri digital terus meningkat di peringkat global, ETCon26 memperkukuh cita-cita Malaysia untuk tampil sebagai peneraju serantau dalam membangunkan ekosistem tenaga yang lestari, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.
“Melalui kerjasama pelbagai hala yang lebih kukuh, pemodenan grid dan inovasi tenaga bersih, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus memacu pertumbuhan lestari ASEAN,” jelasnya.
Dianjurkan oleh TNB, ETCon26 menghimpunkan kira-kira 4,000 delegasi dan pakar industri dari lebih 60 negara bagi membincangkan masa depan tenaga, AI, pelaburan serta pertumbuhan ekonomi mampan dalam era digital.