Skip to main content

Malaysia

Laluan pendakian Gunung Batu Putih ditutup kepada orang awam, beri laluan SAR Jaslinda

TAPAH - Laluan pendakian di kawasan Gunung Batu Putih ditutup sementara kepada orang awam bagi memberi laluan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang masih diteruskan dalam skala kecil.
Kawasan bertanda merah merupakan lokasi pencarian yang dilakukan pasukan SAR Jaslinda pada Rabu. -Foto Sinar Harian

TAPAH: Laluan pendakian di kawasan Gunung Batu Putih ditutup sementara kepada orang awam bagi memberi laluan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang masih diteruskan dalam skala kecil.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, penutupan itu dimaklumkan oleh Jabatan Perhutanan Perak bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan

"Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perhutanan Perak, kawasan pendakian ini ditutup buat sementara untuk pendakian bagi tujuan rekreasi kepada orang awam.

"Pihak bomba akan menyelaras sebarang maklumat terkini berkaitan pencarian kes orang hilang ini dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, selepas Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup pada Rabu, operasi SAR diteruskan secara lebih tertumpu dengan penglibatan terhad membabitkan JBPM, malim gunung serta komuniti Orang Asli.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah akan bertindak sebagai pusat penyelarasan bagi mengumpul maklumat individu atau kumpulan yang ingin terlibat dalam misi pencarian skala kecil.

"Setiap penyertaan perlu dilaporkan kepada BBP Tapah bagi tujuan mendapatkan kelulusan memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal daripada Jabatan Perhutanan," katanya.

Dalam pada itu, Sabarodzi memaklumkan, setakat 4 Mei, seramai lapan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Perak bersama dua malim gunung masih berada di lapangan bagi menjalankan pencarian di sektor ditetapkan.

“Kesemua anggota ini dijangka keluar dari sektor pencarian pada petang ini,” katanya.

Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi pada 24 Mei. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement