KUALA LUMPUR: Pengurusan aset kini tidak lagi sekadar memberi tumpuan kepada pertumbuhan pelaburan, sebaliknya turut merangkumi perancangan legasi serta kesejahteraan kewangan merentasi generasi.
Seiring perubahan tersebut, CIMB Bank Berhad melancarkan CIMB Private Wealth, segmen baharu yang direka khusus untuk memenuhi keperluan individu berpendapatan tinggi di ASEAN menerusi pendekatan pengurusan aset yang lebih menyeluruh, diperibadikan dan berpaksikan hasil.
Penawaran itu menggabungkan penyelesaian pelaburan, pembiayaan, perlindungan serta khidmat nasihat profesional bagi membantu pelanggan mengembangkan aset, memeliharanya dan merancang pewarisan legasi mengikut matlamat kewangan serta profil risiko masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB Group, Haniz Nazlan berkata, landskap pengurusan aset di ASEAN sedang berubah apabila semakin ramai pelanggan mula memikirkan tentang perancangan legasi untuk generasi akan datang.
"Konsep Private Wealth tidak terhad kepada individu semata-mata kerana antara perbezaan utama yang kami lihat dalam keperluan pelanggan ialah semakin ramai daripada mereka mula memikirkan masa depan, termasuk bagaimana harta atau legasi yang dimiliki dapat diwariskan kepada insan penting dalam hidup mereka, khususnya ahli keluarga.
“Private Wealth diwujudkan untuk menawarkan penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan dalam merancang pewarisan kekayaan dan aspirasi pelanggan berpendapatan tinggi yang semakin sofistikated, selari janji jenama CIMB, Moving You Forward
“Justeru, perbincangan bersama pengurus perhubungan atau penasihat pelaburan kami juga boleh melibatkan ahli keluarga, sekiranya bersesuaian," katanya pada Majlis Pelancaran CIMB Private Wealth di sini, pada Isnin.
Menurut Haniz, pelanggan CIMB Private Wealth turut mendapat akses kepada Pengurus Perhubungan Kanan dan Penasihat Pelaburan Kanan bertauliah, di samping pandangan pasaran daripada Pejabat Ketua Pegawai Pelaburan (Chief Investment Office, CIO) CIMB serta pelbagai keistimewaan premium termasuk CIMB Private Wealth World Elite Card.
Tambah beliau, platform digital MyWealth pula membolehkan pelanggan membina strategi pelaburan berdasarkan profil risiko masing-masing menerusi cadangan peruntukan aset daripada CIO CIMB.
"Ketika ini platform MyWealth tersebut masih berada pada versi pertamanya, namun ia sudah mempunyai keupayaan yang sangat baik dan menawarkan ciri yang berbeza berbanding apa yang tersedia di pasaran.
“Pelanggan akan bermula dengan melengkapkan profil risiko mereka.
“Berdasarkan profil tersebut, sama ada konservatif, agresif atau seimbang, Pejabat Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) akan mencadangkan peruntukan aset yang bersesuaian dengan profil risiko pelanggan.
“Berdasarkan peruntukan aset itu, MyWealth juga akan mengesyorkan dana atau pelaburan yang sesuai untuk melengkapkan setiap komponen peruntukan aset tersebut,” jelasnya.
Ujarnya lagi, platform itu turut mencadangkan dana atau instrumen pelaburan yang bersesuaian dengan peruntukan aset pelanggan serta membolehkan urus niaga seperti membeli, menjual, menukar dan mengimbangi semula portfolio dilakukan secara mudah melalui aplikasi digital CIMB OCTO.
Pelancaran CIMB Private Wealth selaras dengan aspirasi Forward30 CIMB untuk menjadi rakan utama dalam pengurusan aset pelanggan berpendapatan tinggi menerusi penyelesaian yang merangkumi pelaburan, pembiayaan, perlindungan, perancangan legasi serta keperluan kewangan rentas sempadan di seluruh ASEAN.
Menurut CIMB, rantau ASEAN kini bernilai sekitar USD4 trilion dan dijangka menyaksikan pertumbuhan populasi individu berpendapatan tinggi sebanyak lima hingga enam peratus setahun, sekali gus mendorong permintaan terhadap penyelesaian pengurusan aset yang lebih menyeluruh dan diperibadikan.
Untuk maklumat lanjut mengenai CIMB Private Wealth, layari www.cimbprivatewealth.com.my.